UiTM Jengka Perkasa Kesedaran Kesihatan Mental Pelajar Sekolah Melalui Program “Mind Shift”

Jengka, 19 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang terus komited menyantuni komuniti melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial universiti (USR) bertajuk Mind Shift: Small Changes, Big Mental Wins, yang telah dianjurkan oleh pelajar BA262 2C, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat 2. Program ini merupakan inisiatif kursus EVM490: Penganjuran Acara dan Amalan, di bawah bimbingan Encik Muhammad Hafiz bin Suhaimi selaku Pensyarah Penasihat.

Seramai 49 pelajar Tingkatan 4 dari kelas Al-Khawarizmi dan Al-Ghazali telah mengambil bahagian dalam program ini, yang berlangsung penuh semangat bermula seawal 8:00 pagi. Dengan memadukan pendekatan pendidikan dan aktiviti interaktif, program ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar tentang tahap tekanan dalaman serta memberikan panduan praktikal dalam pengurusan stres dan penjagaan kesihatan mental.

Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan termasuk Stack Attack, Mission: Hoop Out, Alphabet Soup, Net Rush, Lava Walk dan Don’t Fall the Ball. Kesemua aktiviti direka khusus untuk mengasah kemahiran kerjasama, pengurusan emosi, berfikir secara kritis dan fokus kendiri. Program turut menampilkan sesi ceramah bertajuk Pengurusan Stres yang telah disampaikan oleh Cik Wan Noradila binti Wan Mohd Zain, Timbalan Pegawai Psikologi dari Unit Psikologi dan Kaunseling UiTM Cawangan Pahang, yang memberi nilai tambah dari sudut profesional dan kesejahteraan emosi peserta.

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Dr. Mohd Zaidi bin Mohd Saat, Koordinator Prasiswazah Pengurusan Teknologi, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan program dan menzahirkan harapan agar lebih banyak program berimpak seumpama ini diteruskan demi memperkukuh hubungan antara institusi dan komuniti.

Pelaksanaan Mind Shift secara langsung menyumbang kepada pencapaian beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan Baik serta SDG 4: Pendidikan Berkualiti