
Raub, 24 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub terus memperkukuh jaringan alumni dan memperkasa pembangunan pelajar melalui penganjuran program Alumnus Talk: The Digitalization Era – Strategies for Sustainability and Resilience. Program ini dianjurkan oleh Business Society, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dengan kerjasama MASMED UiTM Pahang, dan berjaya menarik penyertaan hampir 300 orang pelajar.
Program ini menampilkan alumni istimewa, Tuan Amnan Fakri Othman, bekas pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan (BA111) UiTM Kampus Jengka (2005–2008), yang kini merupakan seorang usahawan berjaya dalam bidang pertanian dan pemprosesan makanan. Beliau dikenali sebagai pengasas jenama Abang Strawberry, yang mempopularkan menu unik nasi lemak sambal strawberi, dan kini menerajui jenama baharu Ayahman yang memasarkan produk berasaskan strawberi dari Cameron Highlands.

Dalam sesi perkongsian yang bersifat interaktif, Tuan Amnan berkongsi kisah jatuh bangun beliau sebagai usahawan, cabaran dalam era digitalisasi, serta strategi membina ketahanan dan kelestarian perniagaan dalam landskap ekonomi semasa. Beliau turut berinteraksi secara langsung dengan para pelajar, menjawab soalan dan memberi motivasi secara santai dan mesra. Sebagai tanda penghargaan, peserta turut menerima scones jenama Ayahman sebagai cenderahati eksklusif.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FPP dalam memperkukuh hubungan strategik bersama alumni serta memperkasa pelajar dengan pendedahan dunia sebenar keusahawanan. Menurut pihak penganjur, kehadiran Tuan Amnan bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar, malah memperkukuh peranan alumni sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan.
UiTM Cawangan Pahang merakamkan penghargaan kepada MASMED UiTM Pahang atas sokongan padu dalam menjayakan program ini. Diharapkan hubungan erat antara fakulti dan alumni akan terus diperkasa demi melahirkan graduan yang berdaya saing, berwawasan dan bersedia menghadapi cabaran era digital.
