Sasaran KPI Kepuasan Bekerja Tercapai Melalui Paintball Staf UiTM Terengganu

DUNGUN, 10 Jun 2025 – Seramai 29 orang staf dari Perpustakaan Cendekiawan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu telah menyertai Pertandingan Paintball yang diadakan buat julung kalinya di Dungun Escapade Resort pada 22 Mei 2025.

Program anjuran Bahagian Perpustakaan Cendekiawan itu melibatkan penyertaan staf dari tiga kampus iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Bukit Besi. Acara ini bertujuan mencapai sasaran KPI 7 Perpustakaan UiTM, iaitu meningkatkan kepuasan bekerja dalam kalangan staf kepada 85 peratus, serta memenuhi Petunjuk Prestasi PI096 berkaitan Happiness Index, dengan sekurang-kurangnya satu program dilaksanakan pada tahun ini.

Sebelum pertandingan bermula, peserta diberikan taklimat keselamatan dan penggunaan peralatan oleh jurulatih bertauliah. Ini penting memandangkan ramai peserta merupakan pertama kali menyertai aktiviti seumpama itu. Taklimat yang diberikan secara jelas dan padat memastikan peserta memahami aspek keselamatan sepanjang pertandingan berlangsung.

Para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan campuran lelaki dan wanita, seperti yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa teknikal sehari sebelum program berlangsung. Pertandingan dijalankan selama tiga jam dengan sistem pemarkahan berdasarkan tempoh masa bertahan serta baki peluru pada akhir setiap perlawanan.

Kejohanan menyaksikan kemenangan berpihak kepada kumpulan yang diketuai oleh En. Md Kamil, diikuti kumpulan Puan Nurmaisari di tempat kedua, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh kumpulan En. Mohd Shahnizam dan Cik Asmahani.

Rata-rata peserta meluahkan rasa puas hati dan teruja dengan penganjuran pertandingan ini yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mampu meningkatkan semangat berpasukan serta mengeratkan hubungan sesama staf.

Secara keseluruhannya, pertandingan paintball ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan keharmonian warga kerja Perpustakaan Cendekiawan.

Penulis: Norairin Natasya Zulkifli