
Kampong Gajah, Perak, 11 Jun 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, dengan kerjasama FSKM UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, Institut Latihan dan Kepimpinan (ILD) UiTM Kampong Gajah serta Sekolah Rendah Islam Nurul Iman (SRINI) Kampong Gajah, telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Masyarakat: Pelajar Cemerlang, Akhlak Terbilang Bersama Murid SRINI selama tiga hari, dari 18 hingga 20 April 2025 bertempat di ILD UiTM Kampong Gajah, Perak.
Program jaringan komuniti yang diketuai oleh Dr. Normadiah Mahiddin sebagai Pengarah Program ini melibatkan seramai 55 murid Tahun 4, 5 dan 6 SRINI serta 12 guru pengiring. Objektif utama penganjuran adalah untuk memberi pendedahan holistik kepada pelajar luar bandar merangkumi aspek akademik, sahsiah dan kerohanian, selain menyemai minat mendalam terhadap pembelajaran melalui pendekatan bimbingan yang menyeluruh.
Program ini disokong oleh 17 pensyarah dan 10 fasilitator pelajar dari kedua-dua kampus FSKM, UiTM Pahang dan UiTM Tapah. Antara pengisian utama ialah ceramah motivasi bertajuk “Menetapkan Matlamat Diri” oleh Encik Mohd Ikhsan Md Raus, serta ceramah pengurusan masa oleh Puan Shahirah Hatim. Sesi pembelajaran interaktif “Seronoknya Matematik” telah dikendalikan oleh Dr. Noor Amalina Nisa Ariffin, manakala latihan menyelesaikan masalah dikendalikan oleh Dr. Normadiah Mahiddin, Dr. Nursyahidah Alias dan Dr. Nur Hasni Nasrudin.


Pelajar turut diberi pendedahan kepimpinan melalui ceramah khas oleh Tuan Haji Yusaili bin Zakaria, Yang Dipertua PIBG SRINI, yang menekankan pembinaan jati diri dan tanggungjawab generasi muda. Selain itu, aktiviti kesenian kreatif turut berlangsung pada waktu malam di bawah bimbingan Dr. Juhaida Ismail, Ketua Pusat Pengajian FSKM UiTM Pahang, yang memberi fokus kepada ekspresi kendiri pelajar secara interaktif.
Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Dr. Ahmad Zoolhelmi bin Alias, Penolong Rektor UiTM Kampus Tapah. Turut hadir ialah barisan pentadbiran dari UiTM dan SRINI termasuk Dr. Juhaida Ismail, Dr. Khairulliza Ahmad Salleh, Puan Zainatul Huda Zainon, Encik Wan Khairil Joehari Wan Muda dan Tuan Haji Yusaili Zakaria. Majlis diserikan dengan persembahan sajak oleh murid SRINI bertajuk “Pelajar Cemerlang, Akhlak Terbilang”, yang menambahkan nilai sentimental kepada pengalaman keseluruhan program.
Program ini membuktikan komitmen UiTM dalam memainkan peranan aktif sebagai pemangkin pembangunan komuniti luar bandar melalui pemindahan ilmu dan bimbingan nilai. FSKM UiTM Cawangan Pahang berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan demi menyemarakkan hubungan erat antara universiti dan masyarakat setempat, selari dengan agenda universiti dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan.
