Ibadah Korban @ Aqiqah UCS 2025: Hayati Nilai Pengorbanan, Suburkan Keinsafan

PUNCAK ALAMUnit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah berjaya menganjurkan Program Ibadah Korban @ Aqiqah UCS 2025/1446H dengan penuh kemeriahan pada 11 Jun 2025 di Surau Ibnu Sina, Kampus Puncak Alam. Program ini melibatkan penyembelihan enam ekor lembu hasil sumbangan warga UiTM Cawangan Selangor dan RHB Islamic Bank. 

Program ini turut diserikan dengan pelaksanaan Program Semarak Kasih yang menzahirkan keprihatinan melalui penyerahan sumbangan kepada 30 orang pelajar daripada golongan fakir, Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga B40. Sumbangan ini disampaikan oleh YBrs. Profesor Dr. Norazmir Md Nor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor mewakili Rektor. 

Penganjuran program ini bertujuan untuk menghayati nilai-nilai murni dalam ibadah korban dan aqiqah, di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta memperkukuh hubungan silaturahim antara warga kampus. Ia juga menjadi wadah untuk menerapkan rasa syukur dan keinsafan dalam kalangan masyarakat kampus melalui pengagihan daging korban dan penglibatan pelajar secara langsung dalam proses pelaksanaan.

Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan lancar dan penuh kesedaran spiritual malah turut memberi impak positif dari segi kebajikan, perpaduan dan pembentukan nilai murni dalam kalangan warga kampus. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan saban tahun dengan penyertaan lebih meluas, sekali gus memupuk semangat prihatin dan kebertanggungjawaban sosial dalam kalangan generasi muda.

Penulis: Noor Rashidah A. Rahman 

Editor: Nor Azyyati Md Saad