Perlembagaan Tapak Integrasi: UiTM Mukah Anjur Webinar Bersama Pakar Undang-Undang

MUKAH, 9 Jun 2025 – Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah telah menganjurkan pengajaran kolaboratif bertemakan “Perlembagaan Sebagai Tapak Integrasi dan Wahana Etika dan Peradaban di Malaysia”pada 16 Mei 2025. Program ini melibatkan subjek IDA153 (Pengantar Etika dan Peradaban) dan CTU152 (Penghayatan Etika dan Peradaban).

Webinar ini merupakan hasil kerjasama antara ACIS UiTM Mukah dan firma guaman Ain Shuhada Associates. Puan Ain Shuhada binti Azaman, seorang Peguam Syarie dari Tetuan Fahri Azzat & Co., telah dijemput sebagai penceramah utama. Manakala, Saudari Grace Elvinca Anak Nelson, mahasiswi IDA153 dari Diploma Pengajian Perniagaan UiTM Mukah, bertindak sebagai moderator.

Tujuan utama webinar selama dua jam ini adalah untuk mendedahkan mahasiswa-mahasiswi UiTM Mukah tentang peranan Perlembagaan Malaysia dalam memupuk perpaduan masyarakat. Peserta turut diperkenalkan dengan kandungan dan sejarah perlembagaan negara.

Dianggarkan seramai 124 orang pelajar semester 2 daripada pelbagai program diploma, termasuk Pengurusan Industri Perladangan, Teknologi Pengeluaran Herba, Teknologi Akuakultur, Pengajian Perniagaan, dan Pengajian Perbankan, telah menyertai webinar ini.

Secara keseluruhan, webinar ini telah memberikan pemahaman yang mendalam mengenai definisi, jenis, sejarah, kepentingan, dan peranan perlembagaan dalam mengatur kehidupan serta memupuk perpaduan masyarakat di Malaysia. Diharapkan program berinformatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan.