Eksplorasi Akademik Nusantara: Mobiliti Pelajar FPA UiTM ke UISU Indonesia

Medan, Indonesia,10 Jun 2025 – Seramai 9 orang pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin yang terdiri dari pelbagai program Ijazah Sarjana Muda telah menyertai program mobiliti akademik ke Universitas Islam Sumatera Utara (UISU), Indonesia, selama 2 minggu bermula 22 Mei sehingga 5 Jun 2025. Program ini bertujuan memperluas pengalaman akademik dan kemahiran praktikal pelajar dalam bidang pertanian dan agroteknologi.

Sepanjang program berlangsung, pelajar mengikuti latihan praktikal di ladang pertanian, menghadiri kelas akademik bersama pensyarah UISU, serta menyertai beberapa lawatan ilmiah ke institusi penyelidikan dan perusahaan tani tempatan.

Selain itu, pelajar turut melibatkan diri dalam aktiviti khidmat komuniti bersama masyarakat sekitar, termasuk bengkel pertanian asas dan gotong-royong. Aktiviti ini bertujuan menyemai nilai kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Program ini dilihat sebagai satu platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala antara institusi, di samping melahirkan graduan yang berdaya saing dan berpengetahuan luas dalam bidang pertanian dan agroteknologi. Ia juga dapat memperkenalkan FPA dan UiTM di peringkat global.