BIOSMARTEAM UiTM Kuala Pilah Santuni Asnaf: Cetus Semangat Kesukarelawanan Anak Muda!

SEREMBAN, 14 Mac – Seramai 27 sukarelawan daripada Persatuan Sarjana Muda Sains Biologi (BIOSMARTEAM) UiTM Kuala Pilah dan Angkatan Belia MFLS (ABM) Cawangan Negeri Sembilan dan Melaka telah berjaya melaksanakan program kesukarelawanan di Masjid Negeri, Negeri Sembilan. Program ini mendapat sokongan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Program Biocare: Cahaya Ramadan – Connecting Hearts and the People ini dihadiri oleh 98 penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan asnaf. Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengarah Program, Muhammad Akmal Fitri bin Rozaidin, dan disempurnakan oleh penasihat program, Puan Sarah Shazwani binti Zakaria.

Aktiviti dimulakan dengan solat Asar berjemaah, diikuti dengan sesi Quran Hour yang memfokuskan kepada tadabbur Surah Al-Mulk. Seterusnya, sumbangan berupa barangan keperluan asas telah disampaikan kepada golongan asnaf. Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa dan solat Maghrib, Isyak, serta Terawih berjemaah.

Program ini bukan sahaja bertujuan menyantuni golongan yang memerlukan, malah menjadi platform penting bagi belia mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, dan penyelesaian masalah. Liputan eksklusif oleh RTM turut menyerlahkan impak positif program ini.

Kerajaan dan agensi berkaitan terus komited dalam menyokong program kesukarelawanan sebagai wadah pembentukan belia yang bertanggungjawab dan cakna terhadap masyarakat. Diharapkan lebih ramai belia akan mengambil inisiatif untuk menyertai aktiviti sukarela, sekaligus memperkasa diri dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.