10 Pelajar UiTM Terima Tajaan Nitori International Scholarship Foundation, Japan

Shah Alam, 19 Mei 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) melalui Unit Pengurusan Kebajikan Pelajar (UPKP) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Tajaan Nitori International Scholarship Foundation bertempat di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam. Nitori International Scholarship Foundation merupakan satu badan yayasan yang telah ditubuhkan sejak Mac 2005 di bawah syarikat Nitori Com., Ltd yang mana syarikat ini menjalankan urus niaga perabot dan kelengkapan rumah termasuk rekaan dalaman.

Nitori International Scholarship Foundation menawarkan biasiswa ini bagi jalinan persahabatan dan sumbangan kepada pembangunan sumber manusia.  Syarikat ini telah menaja seramai lebih kurang 7,040 pelajar di 43 buah negara serta wilayah di seluruh dunia dan kini sedang bekerjasama dengan 20 buah universiti di China, 13 buah universiti di Taiwan dan 13 universiti di Vietnam. Pihak Nitori berhasrat mengembangkan tajaan ke universiti di Malaysia dan telah memilih UiTM sebagai salah satu IPT tajaan.

Nitori International Scholarship Foundation berbesar hati menaja 10 pelajar UiTM di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan sealiran selama satu tahun dengan jumlah RM9,500.00 setiap pelajar yang mana bayaran akan dijana untuk dua semester. Satu perjanjian telah dibuat melalui Memorandum of Agreement (MOA) yang ditandatangani pada 7 April 2022 dan tahun ini merupakan tahun yang kedua di mana sekali lagi MOA telah ditandatangani pada 20 Mac 2023 yang lalu yang memanfaatkan 10 pelajar lagi. Melalui MOA ini, ia memberi peluang kepada pelajar UiTM untuk menjalani Latihan Industri di syarikat Nitori Holdings Com., Ltd. Juga, sebagai imbuhan kepada pelajar-pelajar UiTM yang cemerlang yang berasal daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.

Surat tajaan ini telah diserahkan oleh YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang melibatkan 10 pelajar secara keseluruhannya dari Fakulti Sains Gunaan (FSG), Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dan Fakulti Perakaunan (FP). Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Prof. Ts. Dr. Haryani Haron (Penolong Naib Canselor Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media), YBrs. Encik Mohd Nazrul Mohd Amin (Dekan HEP KPPIM), YBrs. Prof. Madya Dr. Shahsuzan Zakaria (Pengarah Pembangunan Pelajar), YBrs. Encik Wan Ahmad Rahiman Wan Abd. Rahim (Timbalan Pendaftar Kanan BHEP), Pengurusan Eksekutif HEP dan Timbalan-Timbalan Dekan HEP.

Harapan UiTM semoga inisiatif ini dapat membantu para pelajar untuk lebih berusaha mencapai kejayaan dalam bidang pengajian masing-masing dan seterusnya dapat mengharumkan nama UiTM bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malahan di peringkat global. Semoga segala usaha dan inisiatif daripada pihak BHEP dalam menguruskan perihal pelajar khususnya dalam aspek dermasiswa, bantuan kewangan dan sumbangan-sumbangan dapat meningkatkan serta membantu pelajar-pelajar untuk lebih cemerlang dalam pembelajaran mereka.