BENGKEL KEUSAHAWANAN TIKTOK

PUNCAK ALAM, 20 Mei 2023 – Program “Bengkel Keusahawanan TikTok “ diadakan atas dasar untuk membantu dan membuka peluang kepada mahasiswa/i Universiti Teknologi MARA UiTM bagi menjana pendapatan dalam aktiviti keusahawanan di kampus. Program ini berupaya menyuntik minat mahasiswa bagi memulakan perniagaan dengan yakin dan berkesan secara tidak langsung dapat melahirkan mahasiswa yang bersifat optimis dan pemikiran yang luas serta terbuka dalam mengendalikan suatu perniagaan sama ada secara atas talian mahupun bersemuka.

Program bermula pada jam 9.00 pagi dihadiri dengan 54 peserta daripada Fakulti Sains Kesihatan, 18 ahli jawatankuasa pelaksana daripada Persatuan Pelajar Pemulihan Carakerja dan 2 daripada 8 VIP jemputan. Webinar ini dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) Pemulihan Carakerja iaitu Prof. Madya Dr. Padma A.Rahman. Sesi perkongsian pula disampaikan oleh penceramah jemputan kita iaitu Encik Muhammad Haziq Bin Rizal yang merupakan seorang Business Social Media Consultant. Beliau juga berpengalaman dan berlatar belakang dalam bidang keusahawanan. Buktinya, beliau telah pun berkhidmat selama lebih 3 tahun dalam membantu para usahawan untuk meningkatkan hasil jualan mereka serta memberi tunjuk ajar dalam menghasilkan konten di media sosial yang dapat menyumbang kepada peningkatan jualan mereka menerusi aplikasi TikTok. Banyak kelebihan yang boleh diperolehi oleh para mahasiswa terutamanya bagi mereka yang berkeinginan untuk menjalankan mahupun yang sedang menguruskan perniagaan yakni dalam kalangan mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan.

Di samping itu, program ini turut mendapat sambutan melalui komen-komen aktif di ruangan “chatbox” serta komunikasi dua hala antara peserta dan penceramah jemputan. Hal ini dapat meningkatkan lagi semangat penceramah jemputan untuk meneruskan perkongsian beliau. Pada penghujung program , sebanyak 5 soalan yang berjaya ditanya oleh peserta dan mendapat isi jawapan padat yang dikongsikan oleh penceramah jemputan. Diteruskan lagi dengan sesi fotografi bersama penceramah jemputan. Diharapkan segala perkongsian oleh Encik Haziq dapat diguna pakai oleh peserta yang terlibat dalam program ini untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan kelak.