15 Sept. 2023 – Persekutuan Malaysia adalah sebuah negara yang unik, diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan Majlis Raja-Raja bagi tempoh 5 tahun (mengikut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan). Tarikh 3 – 13 September 2023, buat pertama kalinya Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong dan kerabat mencemar duli dalam Kembara Kenali Borneo bagi mendekatkan diri baginda bersama rakyat jelata di Sabah dan Sarawak (kepulauan Borneo).
Bersangkutan dengan Hari Malaysia ke-60 tahun, Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu tidak melepaskan peluang untuk berkongsi serta mengembangkan lagi fungsi Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol perpaduan penduduk Malaysia yang secara fitrahnya mempunyai kepelbagaian dan keunikan berbeza dari negara-negara lain kepada masyarakat umumnya warga Universiti Teknologi MARA. Wacana Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu pada kali ini menampilkan seorang panel yang tidak asing dalam bidang kenegaraan iaitu Profesor Sr. Dr. Azmi Hassan yang merupakan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR). Tidak lupa juga wacana ini dipandu oleh Mujibu Abd Muis, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu pada jam 10.00 pagi hingga jam 11.30 pagi.
Persekutuan Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu (Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu) dan negeri-negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Kembara Kenali Borneo telah membuktikan baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai simbolisme Persekutuan Malaysia. Rentetan dari kata keramat yang berbunyi “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”, baginda bersama kerabat diraja mencemar duli ke negeri Sabah dan Sarawak, mendengar dan melihat sendiri apa yang telah dialami oleh mereka sendiri.
Menurut pandangan Prof. Azmi, Kembara Kenali Borneo ini adalah satu kaedah yang mujarab dalam memperkenalkan di antara satu sama lain bukan sahaja dalam konteks Yang di-Pertuan Agong dengan rakyat malah dalam konteks di antara penduduk di semenanjung dan Borneo. Itu yang memaparkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai simbol Persekutuan Malaysia. Institusi beraja adalah simbol kepada semangat nasionalisme, semangat patriotik masyarakat Malaysia di mana institusi tersebut berada di atas pencaturan politik.
Menurutnya lagi, kembara Raja di Sabah dan Sarawak ini adalah unik dan tidak disangka sehingga rakyat di sana menunggu pada waktu pagi, petang dan malam sehingga ada yang sanggup menunggu ketibaan tuanku baginda semasa hujan turun. Situasi ini membawa maksud bahawa masyarakat Sabah dan Sarawak amat merasai baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Raja untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukannya di semenanjung sahaja yang mungkin sudah serasi. Jika ada Kembara Kenali Semenanjung misalnya, mungkin tidak sehebat seperti yang berlaku di Sabah dan Sarawak.
Kesimpulannya, untuk menunjukkan kesetiaan dan kasih sayang kita terhadap institusi beraja atau paling tidak kita menghormati kedaulatan negara kita. Jangan mudah dipusingkan oleh orang-orang politik yang menggunakan sesuatu isu untuk kepentingan peribadi semata-mata sehingga fakta dan kebenaran itu terpadam. Sebaik-baiknya atau seminimumnya kita perlu pamerkan sifat kasih sayang kepada tuanku Yang di-Pertuan Agong.