Sochi, Rusia – Pada bulan ini, mata dunia telah tertumpu pada acara antarabangsa yang berprestij iaitu “World Youth Festival 2024” pada dijalankan pada 1-7 March 2024 yang lalu. Inisiatif ini telah diusahakan oleh Pejabat Perdana Menteri Rusia dan mengambil masa selama satu tahun untuk dibangunkan. Festival ini dianggap sebagai acara terbesar belia di seluruh dunia dan telah melibatkan seramai 20,000 belia yang berumur antara 18 hingga 35 tahun daripada 188 negara di seluruh dunia. Para peserta ini telah ditapis mengikut sistem yang telah ditetapkan dan dipilih melalui proses yang kompetitif.
Sukacita dimaklumkan bahawa, seramai dua orang mahasiswa UiTM telah terpilih untuk mewakili delegasi Malaysia ke program yang berprestij tersebut. Zulfa Nazifah Azhar daripada Fakulti Pendidikan (UiTM Puncak Alam) dan Wan Irfan Wan Mohd Hadi daripada Akademi Pengajian Bahasa (UiTM Shah Alam) adalah antara 63 delegasi yang berjaya dipilih untuk menyertai program ini. Buat makluman pembaca, para delegasi Malaysia dikelola dan diketuai oleh Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk ke sana.
Program ini bertujuan untuk menjadi ‘batu loncatan’, atau dengan bahasa mudahnya, platform, untuk para belia sedunia menjaring hubungan diplomatik dan antarabangsa di antara negara. Program ini turut bertujuan untuk menyatukan para belia yang bersifat progresif dalam usaha sama untuk melahirkan individu yang prihatin terhadap masa hadapan dunia. Dengan berteraskan konsep ini, Festival ini telah menyajikan 800 sub-program yang berjalan secara serentak di sekitar Sochi. Antara tajuk dan tema yang dibawa adalah ekonomi dunia, kesenian, sukan, kebudayaan, pendidikan, sains dan lain-lain lagi.
Pihak Festival telah membangunkan beberapa bangunan khusus untuk memenuhi tuntutan tersebut. Para peserta boleh mengakses program yang diminati melalui aplikasi yang tertera di buku panduan mereka. Antara program yang tersedia adalah ‘Ice Skating Show’, ‘Youth March of Peace’, seminar, forum dan berbagai lagi. Untuk makluman, para peserta digalakkan untuk menyertai program-program tersebut bagi mengutip mata ganjaran. Di hujung hari Festival,
peserta boleh menebus mata ganjaran tersebut di reruai yang telah disediakan. Peserta dengan mata ganjaran yang tertinggi berpeluang untuk memenangi sebuah telefon bimbit berjenama Apple dan berbagai jenis hadiah yang menarik turut ditawarkan kepada peserta.
Delegasi Malaysia tidak melepaskan peluang dengan menyertai program-program yang dianjurkan secara aktif. Antara program yang disertai adalah upacara pembukaan yang dirasmikan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, melalui rakaman. Para delegasi Malaysia telah berpakaian lengkap tradisional bagi menzahirkan rasa cinta akan negara dan menunjukkan semangat patriotik di bumi Rusia. Tidak dilupakan juga, delegasi Malaysia berpeluang untuk
menyertai ‘March of Peace’, di mana Malaysia dan 188 negara lain turut berjalan bersama sebagai tanda solidariti. Delegasi Malaysia telah mengibarkan Jalur Gemilang dan laungan lagu-lagu yang berunsurkan patriotisme bergema kuat di sepanjang perarakan tersebut.
Mesyuarat bilateral turut diadakan bagi mengukuhkan hubungan baik diplomatik di antara negara seperti negara Nepal, Vietnam, Republik Azerbaijan dan lain-lain. Delegasi Malaysia turut menghadiri program ASEAN-Russia Young Diplomat Summit bagi membuka ruang untuk perbincangan diplomatik dan haluan hubungan antarabangsa di antara negara. Memandangkan unsur kesenian merupakan antara elemen penting di Festival ini, Malaysia telah diberi peluang untuk mempamerkan budaya dan tradisi Malaysia di hadapan khalayak ramai terutamanya semasa acara penutupan yang dihadiri secara fizikal oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Oleh yang demikian, World Youth Festival 2024 menandakan satu langkah yang penting dalam membina hubungan yang kukuh di kalangan belia muda dari pelbagai negara. Dengan kerjasama dan pemahaman yang ampuh dari belia, setiap individu dapat meraih kelebihan-kelebihan yang pasti mampu membantu melahirkan generasi dan negara yang progresif dan berfikiran kritis kelak. Seperti kata azimat yang sentiasa dilontarkan oleh Majlis Belia Malaysia, belia penggerak negara maju. Semoga semangat kebersamaan dan patriotisme ini akan terus berkembang melalui inisiatif belia dan kolaborasi masa hadapan.
Galeri Gambar: