World Physiotherapy Day 2023

PUNCAK ALAM, 19 Januari 2024 – Pada 30 November 2023, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UITM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program World Physiotherapy Day 2023. Program World Physiotherapy Day 2023 yang telah dijalankan selama satu hari pada 30 November 2023 itu diadakan secara bersemuka di Laluan Plaza Satelit B dan Dewan Serbaguna PFI. Program ini telah berjaya menarik minat seramai 182 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi daripada pelbagai jurusan termasuk semua pelajar jurusan fisioterapi di Universiti Teknologi Mara (UITM) Puncak Alam.

Program ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Program ini bermula dengan 3 booth yang disediakan di sepanjang Laluan Plaza Satelit B dan telah dikunjungi oleh para pelajar. Pelbagai booth berkaitan fisioterapi telah disediakan oleh para pelajar fisioterapi daripada semester 3. Antara pengisian booth pada hari kejadian ialah demonstrasi senaman ringkas yang boleh dilakukan oleh para pelajar yang mengalami masalah kesihatan tertentu. Sebelum itu, para pelajar digalakkan melakukan saringan kesihatan di booth pertama yang disediakan.

Program World Physiotherapy Day 2023 ini berpotensi untuk memberi galakan awal kepada seluruh warga UiTM terutamanya pensyarah, staf dan pelajar untuk lebih mengambil berat tentang tahap kesihatan diri di samping sibuk dalam pembelajaran mahupun kerjaya. Bagi sesi petang, aktiviti dimulakan dengan perasmian program daripada Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran. Setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada perasmi jemputan iaitu Encik Naim Faiz bin Ahmad Imran yang merupakan pensyarah program fisioterapi di UITM Puncak Alam merangkap penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS). Program dimulakan dengan taklimat tentang aktiviti sukan yang akan dipertandingkan serta pembahagian kumpulan. Program diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah serta sesi fotografi dan tamat pada pukul 5.00 petang.

Program World Physiotherapy Day 2023 juga bertujuan untuk menghargai khidmat bakti dan sumbangan staf fisioterapi di samping mempromosikan lagi bidang fisioterapi kepada pelajar jurusan lain. Kami berharap program ini dapat memberi kesedaran awal tentang tahap kesihatan individu melalui saringan kesihatan yang diadakan. Selain itu, program ini juga diharapkan dapat membuka peluang untuk mahasiswa, pensyarah dan staf fisioterapi untuk saling mengenali antara satu sama lain. Sekalung ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program World Physiotherapy Day 2023. Terima kasih atas kerjasama ahli jawatankuasa yang turut membantu menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program ini.

Harapan kami agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menjadi titik permulaan untuk mengembangkan lagi bidang fisioterapi sekaligus memberikan motivasi kepada mahasiswa dan mahasiswi jurusan fisioterapi untuk menuntut ilmu fisioterapi dengan bersungguh-sungguh. Program ini juga diharapkan mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya mahasiswa dalam mencipta kecemerlangan bukan sahaja di alam universiti malah berguna pada masa akan datang. Semoga para peserta mendapat pelbagai input yang berguna melalui pengisian dalam program ini.