ARAU, 27 Januari 2022 – “Perlaksanaan program pembangunan sukan hendaklah mengambil kira keperluan dan kemampuan wanita di pelbagai peringkat bagi memastikan penyertaan wanita dipertingkatkan dalam pelbagai aktiviti sukan dan riadah. Arena sukan hari ini memerlukan penglibatan lebih ramai wanita yang berwawasan dan berkeyakinan tinggi sebagai platform memartabatkan wanita di Malaysia,” demikian titah DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada perasmian webinar Women in Search of Excellence (WISE) anjuran UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Yayasan Tuanku Fauziah dan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) pada Khamis lepas.
Turut mencemar duli pada upacara penutup webinar tersebut adalah DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah. Webinar tersebut menampilkan tokoh-tokoh wanita tersohor dalam bidang sukan tanah air seperti Datuk Zaiton Othman, Datuk Marina Chin, dan Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi sebagai panel. Turut ditampilkan sebagai panel adalah tiga orang atlet kebangsaan yang terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar UiTM iaitu Cik Juni Karimah Noor Jamali, Cik Anis Amira Rosidi, dan Puan Nur Suryani Mohamed Taibi.
Antara topik yang diketengahkan oleh ahli panel adalah ‘Memperkasakan Wanita Dalam Sukan’, ‘Membina Jati Diri Dalam Kalangan Wanita’, ‘Sky is the Limit’ dan ‘Mengimbangi Perkembangan Akademik dan Sukan’.
Pada webinar tersebut, Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi menzahirkan sokongan penuh beliau atas segala usaha Yayasan Tuanku Fauziah dalam mengangkat martabat wanita dalam pelbagai sektor, termasuk bidang pendidikan dan sukan. Beliau turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan atlet yang juga merupakan pelajar jurusan Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Perlis iaitu Cik Juni Karimah Noor Jamali dan Cik Anis Amira Rosidi kerana mewakili Malaysia ke sukan Olimpik di Tokyo pada tahun 2020.
Webinar yang berlangsung menerusi platform WebEx telah mendapat sambutan yang membanggakan. Seramai 709 peserta dari kalangan pensyarah dan pensyarah UiTM Cawangan Perlis serta institusi pengajian tinggi sekitar Perlis serta agensi luar telah menghadiri webinar yang berlangsung dari jam 8 pagi sehingga 5 petang. Siaran langsung webinar tersebut turut dipancarkan menerusi Facebook rasmi UiTM Cawangan Perlis.