Webinar Rintangan Bukan Halangan: Kisah Inspirasi ke Arah Kecemerlangan Akademik Anjuran APB Kampus Perlis Membarakan Semangat Para Penyelidik

Jawatankuasa Penyelidikan, Geran, Penulisan dan RIG Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Perlis telah berjaya menganjurkan webinar “Rintangan Bukan Halangan: Kisah Inspirasi ke Arah Kecemerlangan Akademik” pada 10 Mei 2024 (3pm), dalam talian Webex. Webinar ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada para pensyarah dan penuntut ilmu untuk terus menimba ilmu tanpa putus asa serta membuat penyelidikan secara berterusan. Pihak penganjur juga berharap webinar ini dapat dijadikan sebagai tanda penghargaan kepada para pensyarah dan mahasiawa-mahasiswi yang kurang upaya dan seterusnya mendorong mereka untuk terus berusaha dalam kesemua aspek kehidupan.

Dr. Wong Huey Siew, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan di Open Universiti Malaysia merupakan penceramah webinar ini. Dr. Wong buta sejak beliau berusia 11 tahun. Beliau telah mendokumentasikan pengalaman hidup beliau dalam buku terbitan UiTM Press, bertajuk, A Walk in the Light of Darkness. Melalui webinar ini, Dr Wong Huey Siew telah berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh beliau dalam mengejar ilmu pengetahuan, serta strategi yang diguna untuk mencapai kejayaan di peringkat akademik. Perkongsian beliau dalam webinar selama dua jam ini mendapat sambutan daripada para pensyarah dan pelajar universiti.