Pandemik COVID19 merupakan satu wabak yang telah memberi banyak kesan negatif terhadap semua golongan masyarakat di Malaysia. Ianya juga telah memberi impak yang besar dari segi mental dan fizikal kepada para pensyarah dan pelajar di institusi pendidikan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. PKP telah menyebabkan evolusi kepada institusi pendidikan dimana proses pengajaran dan pembelajaran telah diadakan secara maya yang dikenali sebagai Open and Distance Learning (ODL) dan pada masa yang sama, semua pensyarah untuk menggunakan mod bekerja dari rumah (BDR) bagi mengelakkan penyebaran wabak ini.
Pihak Institute Leadership and Development (ILD) UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh) dengan kerjasama Unit Kerjaya dan Kaunseling beserta Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTMCPh telah mengadakan satu sesi webinar bertajuk “Perintah Kawalan Perasaan” pada 3 September 2021 di platform Cisco Webex yang bertujuan untuk memberi pengetahuan dan tunjuk ajar tentang cara pengurusan tekanan dikalangan pensyarah disepanjang tempoh PKP dijalankan. Ia juga memberi panduan kepada pensyarah tentang cara untuk membantu pelajar-pelajar yang mengalami tekanan dengan merujuk kepada pakar kaunselor ketika sesi ODL berlangsung. Selain itu, webinar ini berkongsi kepada para pensyarah tentang kemudahan dan kepakaran yang disediakan oleh unit kaunseling.
Sesi Webinar telah dimulakan dengan perasmian dari Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTMCPh, YBrs Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Binti Ramli dan pengenalan koordinator ILD yang baru iaitu Dr. Nor Maslina Mohsan menggantikan Encik Faris Bin Seman @ Kamarulzaman yang menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Ianya diikuti pengenalan para penceramah dengan menampilkan dua orang jemputan yang mempunyai pengalaman yang luas dalam pengendalian tekanan perasaan dan emosi iaitu Encik. Haji Md Kail @ Ikhwan Bin Haji Md Nor sebagai panel pertama dan Encik. Muhammad Naim Bin Haji Jamaludin sebagai panel kedua. Webinar ini membincangkan topik-topik yang sangat dekat dengan para pensyarah dalam pengurusan tekanan, lebih-lebih lagi berhadapan dengan pelbagai kerenah para pelajar. Webinar ini juga menekan peranan para pensyarah sebagai penasihat akademik, pembimbing, serta pendengar yang setia kepada para pelajar supaya hubungan antara pensyarah dan pelajar tiada sempadan. Selain itu, para pensyarah juga di ajar prosedur merujuk pelajar bagi pelajar-pelajar yang mempunyai masalah yang lebih berat. Tambahan pula, para pensyarah diberi panduan mengesan tanda-tanda atau simptom awal stress melalui aktiviti hand-on yang dijalankan oleh para penceramah. Tekanan yang tidak diurus dengan baik akan menyebabkan kemerosotan dalam kesihatan mental seseorang dan perkara tersebut akan menjejaskan banyak perkara seperti proses pengajaran dan pembelajaran, hubungan dengan ahli keluarga dan kesihatan tubuh badan. Oleh itu, webinar ini membantu para pensyarah untuk lebih cakna dalam pengurusan perasaan di samping menjaga mutu kerja yang cemerlang.
Webinar ini dihadiri oleh peserta di kalangan warga akademik UiTMCPh dan peserta luar. Semua peserta telah memberikan input dan maklum balas yang positif. Dengan sokongan warga, pihak ILD UiTMCPh akan terus menganjurkan pelbagai webinar berkaitan dengan kesihatan mental dan fizikal. Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pengurusan perasaan secara sihat lebih-lebih lagi di zaman pandemik ini. Ini merupakan salah satu sumbangan yang dapat pihak pengurusan UiTMCPh berikan bagi memberi ilmu yang mendalam dalam membendung masalah berkaitan jiwa dan rohani, serta pada masa yang sama dapat meningkatkan indeks kegembiraan supaya para pensyarah dapat menghasilkan kerja yang bermutu tinggi