Webinar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Tempat Kerja

13

Ahli Jawatankuasa Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat kumpulan BA2322A dan BA2322B, Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Universiti Teknologi Mara Cawangan Pahang telah menganjurkan program webinar bertajuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Tempat Kerja pada 13 Januari 2023 yang lalu.

Penganjuran webinar ini bertujuan memberikan kesedaran kepada para pelajar tentang peri pentingnya aspek keselamatan dan kesihatan terutamanya di alam pekerjaan. Ini kerana mengutamakan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan atau kecederaan tempat kerja. Program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk mengajukan soalan semasa sesi soal jawab.

Penceramah dari BI Technologies Corporation Sdn. Bhd. iaitu Ts. Luqmanulhafiz bin Ramli telah dijemput untuk berkongsi pengalaman tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerja. Penceramah menerangkan tentang kepentingan melindungi para pekerja di tempat kerja daripada berlakunya kemalangan, kecederaan dan pendedahan kepada bahan berbahaya. Program ini telah dilaksanakan secara dalam talian menerusi pelantar Google Meet. Para peserta yang mengikuti webinar ini adalah seramai 35 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa program, pelajar yang mengikuti Kursus Pengenalan Sumber Manusia dan pensyarah.

Webinar ini memberi gambaran sebenar kepada pelajar tentang realiti yang akan mereka tempuhi apabila mereka memasuki pasaran kerja setelah tamat pengajian nanti. Webinar ini juga merupakan platform yang baik bagi pelajar memantapkan lagi ilmu pengetahuan mereka seterusnya meningkatkan kemahiran dalam pengendalian tugas di masa akan datang.

Justeru, selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG), SDG 4 iaitu kualiti pendidikan, PPPG akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. PPPG yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPG dan UiTM Cawangan Pahang amnya.