Webinar Kesedaran Keselamatan Dan Kesihatan: Keselamatan Radiasi

Webinar Program Service-Learning Malaysia (SULAM) telah berjaya dianjurkan oleh pelajar Semester 5 Fakulti Sains Gunaan (Fizik) UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah bagi Semester Mac – Ogos 2023 dengan tajuk “KESELAMATAN RADIASI”. Program ini diadakan pada 26 Mei 2023 (Jumaat) pada pukul 8.00 – 10.30 malam. Webinar ini dijalankan secara atas talian menggunakan platform Google Meet. Komuniti yang terlibat menyertai program ini adalah mahasiswa dan mahasiswi dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. Manakala, Dr Siti Najila binti Mohd Janib selaku Pengurus Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Agensi Nuklear Malaysia merupakan penceramah jemputan bagi sesi ini.

Program ini bertujuan memupuk kebolehan pelajar UiTM dalam menganjurkan program bersama komuniti luar untuk memberi kesedaran kepada peserta tentang keselamatan dan kesihatan terutama dari segi keselamatan radiasi. Banyak ilmu dan pengetahuan baru yang diperolehi daripada webinar ini.

Pada permulaan webinar, Dr Siti Najila menjelaskan tentang asal usul penemuan dan perkembangan sinaran. Dalam seminar ini, Dr Siti Najila menerangkan tentang jenis sinaran dan kegunaannya dalam kehidupan. Antaranya ialah penggunaan sinaran dalam industri pengilangan, yang terdapat dalam pembungkusan makanan dalam bekas legap. Selain itu, penceramah juga berkongsi tentang penggunaan sinaran dalam bidang perubatan iaitu dalam merawat kanser dan sinaran-X. Pada penghujungnya seminar ini, penceramah menerangkan tentang dan had orang awam dan pekerja sinaran untuk terdedah kepada sinaran. Dr Siti Najila juga menjelaskan kesan dan akibat apabila seseorang menerima lebih daripada had sinaran.

Selepas program tamat, peserta mengisi borang maklumbalas dan hampir kesemua peserta berpuashati dengan program tersebut. Berdasarkan ulasan maklum balas daripada peserta, sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa program menarik ini perlu diadakan secara bersemuka di masa akan datang.