Aktiviti sukan berbasikal semakin popular di Malaysia kesan daripada pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan bagi mengekang wabak Covid -19. Seiring dengan populariti aktiviti sukan ini, sering kita dengari dengan sikap penunggang basikal yang tidak mengendahkan keselamatan serta memandang enteng akan keselamatan pengguna jalan raya yang lain sehingga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak. Oleh yang demikian, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Pahang telah mengambil inisiatif perkongsian maklumat secara maya melalui siri webinar Getfit yang telah dilaksanakan seperti ketatapan. Program ini juga dilaksanakan bagi menyahut baik sokongan Matlamat Pembangunan Mampan pada matlamat agenda 3 : Kesihatan Baik dan Kesejahteraan bagi memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur.
Panel-panel yang berpengalaman dalam acara basikal iaitu Bekas Pelumba Kebangsaan dan kini Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan Singapura, Encik Rizal Tisin serta Jurulatih Berbasikal Jalanraya Negeri Kelantan, Encik Rosli Salleh telah dijemput untuk berkongsi maklumat berkenaan kepentingan untuk menjaga keselamatan semasa menjalankan aktiviti berbasikal. Sesi webinar ini telah dikendalikan oleh En. Kalam Azad bin Isa, Pensyarah Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawagan Pahang.
Di antara perkongsian menarik yang dicadangkan oleh para panel adalah pentingnya penunggang untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling semasa berbasikal di jalan raya. Hal ini kerana perbezaan kelajuan di antara penunggang dan pengguna kenderaan yang lain boleh mengakibatkan kemalangan dan penunggang harus sentiasa di dalam keadaan bersiap-siaga. Para panel juga menasihati agar para penunggang basikal untuk sentiasa menyelenggara basikal dengan kerap. Statistik menunjukkan bahawa kebanyakan kes kemalangan semasa berbasikal adalah berpunca daripada kegagalan teknikal dan menurut panel kegagalan teknikal ini boleh dihindari melalui penyelenggaraan basikal secara berkala.
Selain itu, para panel juga menegaskan bahawa para penunggang basikal harus mengamalkan budaya ‘defensive bicycle riding’ semasa berbasikal di samping sentiasa mematuhi peraturan di jalan raya. Penunggang basikal juga dinasihatkan untuk lebih berhemah semasa mengendalikan aktiviti ini terutama kayuhan dalam kumpulan yang ramai. Perbuatan-perbuatan ini berpotensi untuk menyelamatkan jiwa di samping menikmati aktiviti berbasikal dengan lebih selamat.
Sikap masyarakat yang cenderung untuk menjalankan aktiviti fizikal semasa mereka berkelapangan wajar dipuji. Hal ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui budaya bersukan serta mencegah budaya hidup sedentari. Dalam keghairahan masyarakat mengharungi norma-norma baharu kehidupan, aspek keselamatan serta bertolak ansur perlu diutamakan terutama bagi keselesaan pengguna jalan raya secara keseluruhannya