Webinar ‘Dari UiTM Tapah ke Ireland’: Suntikan Inspirasi buat Mahasiswa UiTM

TAPAH, PERAK | 23 November 2023 – Membanggakan. Begitulah satu perkataan yang boleh diungkapkan kepada seorang anak tempatan Taiping, Perak, Saudari Nur Syiffa Rosman. Beliau ialah salah seorang alumni pelajar UiTM Seri Iskandar dan Tapah, Perak (peringkat diploma) dan UiTM Puncak Alam, Selangor (peringkat Ijazah Sarjana Muda) yang sangat bertuah kerana berjaya mendapat tawaran untuk menyambung pengajian ke bumi Ireland.

Menjadi antara salah seorang alumni UiTM yang mampu memberikan inspirasi kepada mahasiswa mahasiswi, pihak Jabatan Undang-Undang UiTM Tapah, Perak mengambil peluang ini untuk mengadakan satu sesi perkongsian istimewa secara atas talian bersama Cik Syiffa. Menerusi program webinar bertajuk ‘Dari UiTM Tapah ke Ireland’, program ini berjaya dilaksanakan pada 23 November 2023 yang lalu bermula 8.30 malam sehingga 10 malam. Dengan kehadiran 160 mahasiswa dan mahasiswi, program ini berjaya mencapai objektif untuk membuka minda dan peluang sebagai persediaan para pelajar yang bercita-cita menyambung pelajaran ke luar negara.

Banyak yang beliau kongsikan sepanjang webinar berlangsung. Bermula daripada sejarah dan impian besar semasa di sekolah menengah, perjalanan penuh berharga semasa berada di UiTM dan diikuti bagaimana usaha beliau melalui liku-liku cabaran untuk menggapai impian menyambung pelajaran di luar negara. Kini, hampir 10 tahun berhijrah ke luar negara, Cik Syiffa tidak pernah berputus asa untuk berani membawa diri maju kehadapan demi meneruskan hasrat dan cita-citanya sejak kecil lagi. Lebih mengujakan, apabila beliau telah diterima bekerja di beberapa buah syarikat besar seperti Apple dan Google, bagi Cik Syiffa, banyak rezeki yang tidak disangka-sangka, hasil daripada sentiasa berusaha sebaik mungkin dan meletakkan tawakal dan redha pada ketentuan Tuhan.

Menariknya, akhlak murni yang sentiasa diamalkan dalam memacu kecemerlangan hidupnya, seharusnya dijadikan iktibar dan pedoman buat para mahasiswa. Sikap menyantuni ibu bapa dan keluarga dan sentiasa berpegang kepada pesanan dan nasihat para pensyarah, banyak membantu perjalanan hidupnya untuk terbang lebih tinggi. Kini, beliau turut dikenali sebagai seorang penulis buku, blogger, Youtuber Ilmiah melalui saluran ‘Iflah Talk’ dan ‘ML Studios’.

Di akhir sesi, beliau berpesan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi untuk sentiasa menjaga hubungan baik dengan para pensyarah, jadikan membaca sebagai amalan, belajar dan terus belajar, hadirkan sikap minda positif untuk perkembangan minda dan sentiasa beradap dengan ilmu yang dimiliki. InshaAllah setiap perkara yang berlaku, pasti akan memberikan nilai tambah yang baik dalam kehidupan para pelajar.

Secara kesimpulannya, rata rata mahasiswa dan mahasiswi sangat terinspirasi dengan sesi perkongsian berdurasi 1 jam 30 minit itu. Terima kasih tidak terhingga kepada Saudari Nur Syiffa Rosman atas kesudian menjadi panel jemputan khas pada webinar kali ini. Sekalung penghargaan kepada pengarah program webinar ‘Dari UiTM Tapah ke Ireland’, Dr Farihana Abdul Razak, Pensyarah Kanan JUU kerana berjaya menganjurkan program bermanfaat sebegini. Semoga Allah memberkati usaha dan semangat semua peserta yang hadir, dan semoga ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua. Akhir kata, diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang dengan sokongan yang lebih padu daripada seluruh warga UiTM.