WARGA UiTM CAWANGAN SABAH KAMPUS TAWAU TURUT SAMA REALISASIKAN PROGRAM GOTONG-ROYONG SERENTAK UiTM SELURUH NEGARA

TAWAU, 1 Oktober 2023 – Seramai lebih 230 orang warga UiTM Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau yang terdiri daripada semua pelajar baharu Minggu Destini Siswa (MDS) Program Pra Diploma Semester Oktober 2023- Februari 2024 dan warga kerja turut bersama merealisasikan Program Gotong-Royong Perdana serentak di seluruh negara pada 29 September yang lalu.

Bertemakan “Kita, Kampus Dan Alam”, program anjuran Jabatan Infrastruktur Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini telah melibatkan sejumlah lebih 35,685 warga UiTM daripada 34 kampus cawangan seluruh negara.

Seawal jam 7.30 pagi, semua warga telah berkumpul di Gelanggang Bola Jaring, Kolej Kediaman Pelajar, UiTMCSH Kampus Tawau bagi melakukan senaman ringkas sebelum aktiviti gotong-royong bermula dan seterusnya dibahagikan tugas di kawasan sekitar kampus mengikut pecahan kumpulan masing-masing.

Menurut pihak penganjur, Jabatan Infrastruktur Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII), objektif utama program ini adalah untuk menjadikan UiTM lebih ceria, meningkatkan kebersihan kampus, mencipta iklim yang kondusif dan lestari, serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, pensyarah, pentadbir, dan seluruh komuniti UiTM.


Diharapkan, dengan penglibatan seluruh warga UiTMCSH Kampus Tawau di dalam program ini juga dapat mengeratkan kerjasama dan memupuk perpaduan setiap warga UiTM di samping meningkatkan tahap aspek keselamatan, kesihatan dan keceriaan dalam kampus.

Turut hadir, Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling yang bersama-sama warga kampus untuk melakukan kerja gotong royong.