Virtual Town Hall: Moving Ahead Bigger, Bolder, Better

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan satu sesi bertemu warga atau town hall secara atas talian pada 1 April 2021. Setelah dua bulan beroperasi sebagai BPPA, virtual town hall yang bertemakan “Moving ahead Bigger, Bolder, Better” itu bertujuan untuk menjelaskan skop, fungsi, dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BPPA, di samping memaklumkan tentang hala tuju penstrukturan Bahagian Penilaian Akademik (BPA) yang telah pun dijenamakan sebagai Bahagian Pentaksiran & Penilaian Akademik (BPPA).

Sesi town hall telah diserikan dengan ucapan pembukaan oleh YBhg. Profesor Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM bertajuk “Forward thinking assessment” yang telah memberikan impak besar kepada warga UiTM yang mengikuti sesi tersebut. Town hall yang telah disempurnakan oleh Pengarah BPPA, Profesor Madya Ts. Dr. Syamsul Nor Azlan telah membincangkan tiga aspirasi utama BPPA untuk memastikan pembangunan kurikulum dan pentaksiran bergerak sehala, menjamin satu kitaran lengkap bermula dari aspek rekabentuk kurikulum, penilaian, pengukuran, dan pemantauan berterusan, dan meningkatkan keupayaan universiti menghasilkan program akademik yang berdaya saing dan memiliki pengukuran yang berkualiti.

Antara inisiatif yang dapat dilaksanakan oleh pihak BPPA dalam masa 59 hari beroperasi adalah penghasilan Polisi Pentaksiran dan Penilaian Akademik 2021, Ikrar Integriti Akademik Pelajar UiTM, dan penghasilan kerangka serta item Pemantauan Kualiti Berterusan – Pentaksiran dan Penilaian. BPPA juga telah berjaya menjalankan lebih dari 12 latihan dan konsultansi berkaitan pentaksiran dan penilaian bersama warga akademik UiTM.

Polisi Pentaksiran dan Penilaian Akademik 2021 yang telah di luluskan di dalam mesyuarat Senat ke-268 dan mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) ke-178 merupakan penamaan baharu kepada polisi Penilaian Akademik Pelajar Edisi Ke-2 (2015). Polisi ini telah di tambah baik berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan bersama berberapa kumpulan yang terdiri daripada kumpulan pengurusan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa),
kumpulan pensyarah pelbagai gugusan, kumpulan pensyarah dalam bidang kepakaran pentaksiran dan penilaian, kumpulan Profesor dan Profesor Madya dengan latarbelakang dan pengalaman yang luas dalam hal pentaksiran dan penilaian akademik, serta kumpulan ahli Senat UiTM.

Polisi Pentaksiran dan Penilaian Akademik UiTM merupakan prinsip dan ketetapan yang menjadi paksi dalam mengurus, mentadbir dan melaksana hal ehwal pentaksiran akademik pelajar di UiTM. Polisi ini bertujuan untuk memastikan keutuhan dalam hal pembangunan, pengurusan, pentadbiran, dan pelaksanaan pentaksiran dan penilaian akademik pelajar. Penambahbaikan polisi telah mengambil kira terma, konsep, proses pengurusan, dan pelaksanaan pentaksiran on-demand yang fleksibel, holistik, melangkaui bilik kuliah, dan autentik demi melahirkan pelajar yang berkualiti, berintegriti, dan berkeupayaan untuk beradaptasi mengikut keperluan semasa.

Usaha BPPA dalam memastikan polisi, garis panduan, manual pengurusan, dan prosedur disejajarkan dengan pendigitalan proses kerja bagi pengoptimuman sumber adalah dengan membangunkan JKIPA Performance Dashboard, Macro Excel bagi Kertas Kerja Pentaksiran, E-Bilik Kebal, dan CQI Performance Monitoring Dashboard.

Sesi yang dihadiri seramai 931 peserta yang terdiri dari kalangan professor, professor madya, pensyarah akademik yang juga staf pentadbiran telah menerima pelbagai sokongan positif dari warga UiTM. Dengan sokongan warga UiTM pihak BPPA akan bekerja keras untuk memastikan apa yang dirancang dapat ditunaikan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Pihak BPPA mengucapkan Terima Kasih di atas kesudian warga UiTM dalam menyertai Academic Assessment & Evaluation Division Virtual Town Hall tersebut. Berikut di sertakan pautan rakaman sesi Town Hall tersebut: http://bit.ly/rakamanTHBPPA

Diharap warga UiTM sudi untuk subscribe dan like saluran YouTube BPPA (http://bit.ly/YouTubeBPPA) di mana pengisian tentang pentaksiran dan penilaian akan di muat naik dari semasa ke semasa.

Semoga perkongsian video rakaman dapat memberi manfaat kepada semua warga.