SHAH ALAM – Comprehensively Excellent…for our Community merupakan hala tuju baharu ICAN pada tahun 2024. Seiring dengan hala tuju ini, Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) telah menganjurkan Virtual Town Hall: Libatsama Komuniti UiTM pada 14 Februari 2024.
Agenda program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor, Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) dan diteruskan dengan sesi taklimat libatsama komuniti yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mahadir Ladisma @ Awis, Pengarah Pusat Jaringan Komuniti, Pejabat ICAN. Sesi taklimat yang berlangsung selama dua jam ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada lebih 1000 warga UiTM yang hadir mengikuti sesi tersebut.
Di samping itu, CNC turut memperkenalkan Manual Libatsama Komuniti untuk panduan dan rujukan warga universiti yang terlibat dalam menjayakan projek komuniti menerusi sesi taklimat ini. Manual ini memperincikan setiap proses dan tatacara pengurusan projek komuniti yang merangkumi aspek pelaporan, bahan bukti sokongan dan penilaian impak projek.
Sesi taklimat ini juga memberi penerangan yang lebih lanjut berkaitan Manual Libatsama Komuniti yang diperkenalkan. Ia dimulakan dengan pengenalan Knowledge Transfer and Social Innovation Engagement and Research Helix (KaSEH) UiTM iaitu inisiatif strategik di pejabat ICAN yang dicetuskan oleh CNC bagi memastikan semua projek libatsama komuniti yang dijalankan oleh warga UiTM adalah berimpak tinggi dan mencapai matlamat di dalam memberdayakan komuniti. Seterusnya, definisi berkaitan libatsama komuniti, tadbir urus, kriteria penilaian prestasi dan penarafan, kriteria pelaporan pelaksanaan projek serta perincian bukti pelaporan projek libatsama komuniti dijelaskan dengan lebih terperinci untuk pemahaman yang holistik buat warga UiTM berhubung dengan tadbir urus libatsama komuniti universiti.
Kesinambungan dari Siri Jelajah KaSEH UiTM yang dilaksanakan pada tahun 2023, diharapkan bahawa dengan sesi taklimat dan pengenalan Manual Libatsama Komuniti ini, warga universiti dapat membudayakan dan melaksanakan inisiatif KaSEH dalam setiap projek libatsama komuniti yang dijalankan.