Program Virtual Cultural Intelligence Discovery di antara dua universiti iaitu Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Malaysia dan Princess Naradhiwas University (PNU), Thailand telah berjaya dilaksanakan buat julung kalinya melalui platform Cisco Webex Meetings pada 22 Disember 2020 dan turut disiarkan secara langsung (live streaming) di Youtube Rasmi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Pahang.
Majlis ini telah dianjurkan oleh barisan MPP dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI), Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa (OIA) dan Unit Kebudayaan, UiTM Cawangan Pahang.
Objektif utama pelaksanaan program adalah bagi melestarikan lagi jalinan kerjasama yang telah termeterai di antara UiTM dan PNU dengan mengadakan program pertukaran dan pameran budaya dari kedua-dua negara. Program yang dijalankan terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pertama (pagi) dan kedua (petang). Antara aktiviti yang dijalankan pada sesi pertama adalah melibatkan tarian dan pertunjukkan fesyen oleh kedua-dua institusi. Pihak MPP turut merakamkan secara eksklusif video gamelan yang dimainkan oleh beberapa orang pelajar UiTM Cawangan Pahang sebagai aktiviti tambahan pada sesi pertama.
Pada sesi kedua pula dimulakan dengan tayangan montaj dan kemudian disusuli dengan forum santai di antara wakil pelajar kedua-dua institusi. Forum tersebut membincangkan topik berkenaan cabaran dan tips pembelajaran secara Online pada masa kini yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Kemudian, program diteruskan dengan ucapan penutup oleh wakil kedua-dua institusi berdasarkan dapatan program yang dilaksanakan sebelum diakhiri dengan tayangan montaj perjalanan program serta gimik pemberian e-sijil penghargaan kepada pelajar dan peserta yang terlibat.
Harapan kepada kerjasama program seperti ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, namun ia akan menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif pelaksanaan program yang lebih bermakna, selain mempromosikan pendidikan yang berkualiti, saksama dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat di peringkat global.
Turut hadir dari UiTM Cawangan Pahang, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Dr. Badli Esham Ahmad dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Dr. Hj. Mohd Kamal Azman Jusoh yang menyaksikan pelaksanaan program tersebut di Dewan Al-Biruni 1, UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka.
Terima kasih dan syabas kepada pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Pahang dan PNU, Majlis Perwakilan Pelajar serta jawatankuasa yang terlibat di atas sokongan dan komitmen yang diberikan bagi menjayakan program ini. Pihak UiTM Cawangan Pahang juga turut berterima kasih kepada semua pelajar dan peserta yang telah menyaksikan majlis ini secara maya.