PUNCAK ALAM, 2 Ogos 2023 – Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan pameran dan tayangan hasil karya pelajar tahun akhir yang dikenali sebagai Vertex Showcase dengan tema Immersive in Creativity. Program ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 28 – 30 Julai 2023 di Dewan Berlian, UiTM Kampus Puncak Alam. Acara ini dianjurkan dan diuruskan oleh para pelajar dan pensyarah dari program Animasi, Seni Reka Permainan Kreatif (Creative Game Design) dan Seni Reka Gerak Kreatif (Creative Motion Design).
Menerusi acara dwi-tahunan ini, ia memberi peluang kepada mahasiswa untuk memasarkan dan mempromosikan hasil karya digital mereka kepada umum. Vertex Showcase juga menjadi platform terbesar bagi pelajar bidang Teknologi Kandungan Kreatif untuk berhubung dan membina jaringan dengan profesional industri kandungan digital. Selain daripada itu, acara seperti ini dilihat mampu untuk menghubungkan pelajar, rakan industri, alumni dan juga khalayak umum.
Penglibatan pelajar-pelajar secara menyeluruh dapat dilihat dari seksyen pembahagian karya mengikut tema seperti Animation Kingdom, Game On! dan Mograph. Selain itu, Vertex Talk (bual bicara ilmiah bersama industri), Vertex Career Day (temuduga penempatan Latihan Praktikal dan ulasan portfolio), Werewolf Game, Project Alpha, e-Sport, Tabletop Game, My Dream Campus Augmented Reality Treasure Hunt bakal menjadi nilai tambah kepada Vertex Showcase, seiring dengan perkembangan teknologi digital dan evolusi metamesta.
Vertex Showcase juga telah mendapat sokongan padu daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) serta rakan-rakan kerjasama yang lain, Vertex Showcase juga menyediakan reruai daripada pemain besar industri teknologi kandungan digital, antaranya PlayStation Studios Malaysia, Electronic Arts, Circle Studio, Les’ Copaque, Innoveam, Lemon Sky dan banyak lagi. Sepanjang tiga hari program ini berlangsung, telah mencatatkan kehadiran seramai 87 orang wakil industri dan 508 pengunjung termasuk alumni dan pelajar-pelajar Sekolah Seni Kuala Lumpur yang turut diiringi cikgu sekolah. Maklumbalas yang diterima dari pengunjung amatlah memberangsangkan dan rata-rata menyatakan tentang bagusnya penganjuran program seperti ini yang dapat menyatukan industri, komuniti dan alumni sambil memamerkan hasil karya kepada umum.