UiTM Cawangan Sarawak anjur Majlis Perasmian Penutupan Program Belia Mahir ICT: Bengkel Asas Komputer & Penyelenggaraan Komputer Komuniti

KOTA SAMARAHAN, 3 Ogos 2023 – Unit Jaringan Komuniti, UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN N.17 Stakan dan Syarikat Serba Dinamik Sdn. Bhd. telah menganjurkan program Belia Mahir ICT: Bengkel Asas Komputer dan Penyelenggaran Komputer Komuniti yang diadakan di Venet Hall, D’Virtual Park, Kota Samarahan. Bengkel selama dua hari bermula 29-30 Julai 2023 ini dihadiri seramai 30 orang belia golongan B40 dari Kota Samarahan terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Stakan.

Bengkel berkenaan bertujuan menyediakan ilmu asas tentang komputer dan kemahiran tatacara menyelenggara komputer merupakan salah satu fokus utama dalam melahirkan generasi belia yang celik ICT. Selain itu, bengkel ini juga mempersiap siaga generasi masa kini dengan cabaran dunia digital serta mencapai matlamat pembangunan mampan (Sustainable Development Goal) bagi membentuk sebuah bandar bestari digital menjelang tahun 2030 di Kota Samarahan. Di antara pengisian bengkel berkenaan adalah ceramah tentang pengenalan komputer, penyelenggaraan komputer, business pitching dan ceramah e-dagang dan digital inisiatif yang disampaikan oleh pihak Syarikat Serba Dinamik Sdn. Bhd.

Majlis penutupan bengkel berkenaan disempurnakan oleh YB Datuk Hamzah Brahim, Ahli Dewan Undangan Negeri N.17 Stakan dan turut dihadiri oleh Prof. Dr Mohamad Hariri bin Haji Abdullah, Timb. Naib Canselor Industri, Komuniti dan Jaringan Alumni (ICAN) UiTM, Prof. Dr. Abang Zainoren Abang Abdurahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Sarawak, Professor Dr Muhammad Hussain bin Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Industri, Dr Azlina binti Bujang, Koordinator Jaringan Komuniti UiTM Cawangan Sarawak, Encik Mohamad Farizan bin Jamil, Presiden Kelab Kakitangan UiTM Cawangan Sarawak (KEKiTA) dan Encik Abdul Qaiyum bin Alidin, Wakil Hub Inovasi Serba Digital X yang juga Pengasas Startup Borneo.