USR-KTP Community Engagement With Older People 4.0

Pada 19 Jun 2023, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor yang terdiri daripada 73 orang pelajar semester 6 telah mengadakan program Community Engagement with Older People 4.0 (CEOP 4.0) bertempat di di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas Puchong. Program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan dan memperkayakan pemindahan ilmu semasa di institusi pengajian tinggi (IPT) melalui projek komuniti semasa yang berorientasikan perkhidmatan terhadap pembelajaran dengan keberhasilan kepada kumpulan sasaran iaitu golongan warga emas.

Program ini telah berlangsung selama 2 jam bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11 pagi. Para pelajar telah bertolak ke destinasi seawal 7.00 pagi dan tiba pada pukul 8.50 pagi. Sebelum bermulanya program, para pelajar membuat persiapan tempat dan menikmati sarapan pagi sementara menunggu peserta. Setelah itu, program dimulakan dengan bacaan doa daripada wakil pelajar, iaitu saudara Iskandar dan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Maria Justine @ Stephany, selaku wakil Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam. Turut tidak dilupakan, ucapan pembukaan daripada Puan Muji binti Sulaiman selaku pengasas Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas. Sejurus selesai taklimat, kumpulan pelajar yang pertama memulakan aktiviti senaman bersama penghuni dan disambung dengan sesi nyanyian yang dikendalikan oleh kumpulan pelajar yang kedua mengikut pembahagian yang telah dibuat sebelum program dijalankan. Pada masa yang sama, terdapat juga kumpulan pelajar yang melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan persekitaran pusat jagaan.

Setelah selesai semua aktiviti, program ditutup dengan ucapan daripada pihak UiTM dan juga penyampaian sijil penghargaan serta cenderamata kepada wakil penghuni Pusat Jagaan dan Rawatan Al-Ikhlas Puchong.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program khidmat masyarakat seperti ini dapat membantu pelajar fisioterapi semester 6 mengaplikasikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh ketika bergelar ahli fisioterapi kelak. Selain daripada menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas, program ini juga mampu memupuk ikatan kerjasama antara pelbagai pihak. Oleh itu, besarlah harapan kami agar pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan seperti ini akan dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang kerana mampu mendatangkan pelbagai manfaat kepada semua.

Galeri Gambar: