Usaha Sinergi UiTM Johor & Pejabat Daerah Johor Bahru Memperkasakan Pendidikan di Kalangan Masyarakat Setempat

 

Program Inisiatif Usahasama UiTM Cawangan Johor dan Pejabat Daerah Johor Bahru Dalam Memperkasakan Pendidikan di Kalangan Masyarakat Daerah Johor Bahru telah diadakan di Kampus Pasir Gudang pada 16 Julai 2023.

Program ini telah dihadiri kira-kira 40 orang peserta yang merupakan para penghulu dan ketua-ketua kampung di daerah Johor Bahru. Antara lainnya, program usahasama ini bertujuan untuk mewujudkan dan meneruskan jalinan program kerjasama antara universiti dan komuniti khususnya di negeri Johor, serta mewujudkan kerjasama antara UiTM dan Pejabat Daerah Johor Bahru.

Pegawai Daerah Johor Bahru telah diwakili oleh Puan Hajah Farhana binti Abdul Majid, Ketua Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru. Manakala Rektor UiTM Cawangan Johor telah diwakili oleh Encik Ahmad Saufi Ahmad Jawahir, Penolong Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kampus Pasir Gudang.

Antara pengisian program ini adalah sesi taklimat bertajuk Kepentingan Pendidikan dalam Pembentukan Masyarakat Sejahtera: Pendidikan sebagai Kunci Transformasi Sosial dan Ekonomi Masyarakat, dan Taklimat Program Pra Diploma UiTM, yang telah disampaikan oleh Pegawai Psikologi Kanan dan Koordinator Pra Pengajian Tinggi UiTM Cawangan Johor. Sesi soal jawab juga telah diadakan untuk memberi respon terus kepada pemimpin-pemimpin masyarakat yang hadir bagi memudahkan proses penyampaian maklumat kepada komuniti.

Semoga program ini dapat memberikan pendedahan dan maklumat yang bermanfaat dalam usaha bersama untuk menjayakan transformasi sosial dan kesejahteraan masyarakat.

Galeri Gambar: