Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Dan Geospec Sdn Bhd Meterai

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sarawak dan Geospec Sdn Bhd merupakan detik bersejarah antara kedua-dua belah pihak. Ini disebabkan hubungan yang terjalin di antara kedua-dua belah pihak selama ini telah dirasmikan ikatannya melalui MoU ini.

Kedua-dua pihak yang terlibat dalam majlis ini bersetuju untuk menggalakkan aktiviti secara bersama seperti kerjasama akademik, penyelidikan dan intelektual dalam bidang-bidang berikut, iaitu;
a) penyelidikan dan penyeliaan;
b) pertukaran maklumat yang berkaitan dengan perkembangan ilmu dalam pengajaran, pembangunan pelajar dan institusi penyelidikan;
c) penerimaan latihan praktikal pelajar untuk satu tempoh yang dipersetujui bersama; dan,
d) kerjasama dalam mana-mana bidang lain seperti yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Sebagai langkah permulaan, kerjasama antara kedua-dua agensi ini akan diterjemahkan dalam bentuk aktiviti bersama yang sedang atau akan berlangsung, seperti;
a) penempatan pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sarawak bagi Latihan Industri di Geospec Sdn Bhd;
b) penerbitan buku atau artikel atau bahan ilmiah dalam bidang kejuruteraan;
c) penyeliaan pelajar lepasan ijazah daripada industri dengan menggunakan tenaga pakar daripada UiTM Cawangan Sarawak;
d) penyertaan staf akademik dalam aktiviti tapak kejuruteraan bagi manambah ilmu pengetahuan semasa.

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato Dr. Jamil Haji Hamali, Rektor bagi pihak UiTM Cawangan Sarawak sambil disaksikan oleh Prof. Dr. Abang Zainoren Abang Abdurahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Sarawak. Manakala pihak Geospec Sdn Bhd pula diwakili oleh En. Kelvin Huong Tuong Yu, Pengurus Besar, Geospec Sdn Bhd dan disaksikan oleh En. Jeffery Tay Guan Kiat, Pengurus Teknikal, Geospec Sdn Bhd.

Majlis yang diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2 tersebut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Negeri, Ketua-Ketua Unit serta Pensyarah Kolej Pengajian Kejuruteraan Awam, UiTM Cawangan Sarawak.