Umpwr Sharing Session @ Uitm Cawangan Pahang: Sesi Perkongsian Ilmu Oleh Delegasi Universitas Muhammadiyah Purworejo, Indonesia

UMPWR SHARING SESSION @ UiTM CAWANGAN PAHANG: SESI PERKONGSIAN ILMU OLEH DELEGASI UNIVERSITAS MUHAMMADIYAH PURWOREJO, INDONESIA

Mohd Naqiuddin Zulkarnain

Bertempat di Dewan Kuliah (DK) Ibnu Hazm, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, satu program bertajuk UMPWR Sharing Session telah diadakan pada tarikh 8 Februari 2023. Program ini dianjurkan bersama Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pahang dan merupakan salah satu aktiviti yang diadakan bersempena kunjungan hormat oleh delegasi Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR), Indonesia yang telah berlangsung dari 7 hingga 8 Februari 2023.

Mengimbas kembali, pada tarikh 30 Mei 2022 yang lalu, UiTM Cawangan Pahang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR), Indonesia. Rentetan MoU tersebut, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh para pensyarah APB UiTM Cawangan Pahang bersama pihak UMPWR dan kunjungan hormat tersebut merupakan kali pertama delegasi UMPWR menjejakkan kaki di kampus Khazanah Alam ini.

Delegasi UMPWR yang terdiri daripada Dr. Rofiq Nurhadi (Rektor UMPWR), Ibu Tri Ermayani (Timbalan Rektor Hal Ehwal Kerjasama UMPWR) dan Dr. Tusino (Pengarah Hal Ehwal Pengantarabangsaan UMPWR) telah menyampaikan topik kajian mengikut bidang dan kepakaran masing-masing pada sesi perkongsian tersebut. Dr. Rofiq Nurhadi selaku Rektor UMPWR memperincikan mengenai ‘Heterogeneity of Islam in Indonesia’ yang berkisar mengenai perkembangan Islam di Indonesia manakala Ibu Tri Ermayani pula membincangkan peranan dan kedudukan wanita dari sudut pandangan agama Islam, dengan tajuk beliau ‘Women Roles in Public Sectors: Perspectives of Religion’. Seterusnya, Dr. Tusino menyampaikan hasil kajian dan perkongsian beliau mengenai teknologi pembelajaran pasca-pandemik Covid-19, bertajuk ‘Keeping Abreast with Technology in Higher Education in Indonesia: Challenges and Resolution’. Ketiga-tiga topik perkongsian tersebut mendapat sambutan yang hangat memandangkan para peserta yang kebanyakannya terdiri daripada para pensyarah UiTM Cawangan Pahang dapat mengaitkan topik yang dibincangkan dengan isu-isu semasa yang sedang dan sering berlaku di Malaysia.

UMPWR Sharing Session yang berlangsung selama hampir 2 jam tersebut turut dihadiri oleh wakil JKEN UiTM Cawangan Pahang iaitu Prof. Madya Dr. Hajah Nazirah Ramli (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik), Dr. Haji Mohd Kamal Azman Jusoh (Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar) dan Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman (Timbalan Rektor Penyelidikan & Jaringan Industri). Dr. Roslina Abdul Aziz (Ketua Pusat Pengajian APB) dan YM Prof. Madya Dr. Tengku Intan Suzila Tengku Sharif (Pengarah Program) turut menghadirkan diri dan bertindak sebagai pemudahcara sepanjang program bersama delegasi UMPWR tersebut. Sesi perkongsian ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada delegasi UMPWR, diikuti dengan sesi bergambar bersama para peserta.

Akhir kata, program berbentuk sesi perkongsian sebegini diharapkan agar dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ilmu yang diberi amat bermanfaat bagi para pensyarah dan staf, terutamanya di UiTM Cawangan Pahang.