UiTM Tersenarai Kedudukan 401-600 THE University Impact Ranking

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) tersenarai pada kedudukan 401-600 daripada 766 institusi pengajian tinggi di dunia dan di tangga ke-10 di Malaysia untuk 2020 dalam penarafan Times Higher Education (THE) University Impact Ranking, yang diumumkan pada 22 April lalu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, berkata dalam pengumuman yang dilakukan secara Webinar dari London, United Kingdom, UiTM mencapai kedudukan ke-74 untuk SDG 5 (Gender Equality), kedudukan 101-200 untuk SDG 4 (Quality Education) dan kedudukan ke 301-400 untuk SDG 3 (Good health and well-being).

Kedudukan itu satu daripada pengiktirafan global dan petanda positif kepada keberkesanan pelbagai inisiatif UiTM ke arah menjadi universiti terkemuka dunia menjelang 2025 seperti yang digariskan di dalam perancangan strategik UiTM2025 yang dilancar pada Februari lalu.

“THE University Impact Ranking yang diperkenalkan oleh Times Higher Education (THE) adalah satu inisiatif yang menilai pencapaian universiti terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau lebih dikenali sebagai 17 United Nation’s Sustainable Development Goals (SDG).

“Prestasi UiTM dalam THE University Impact Ranking ini dinilai berdasarkan pencapaian terbaik di dalam empat (4) SDG dengan SDG 17 adalah kategori SDG mandatori.

“Untuk penyertaan kali pertama pada tahun ini, UiTM menghantar data untuk 10 SDG iaitu No Poverty (SDG 1), Good health and well-being (SDG 3), Quality Education (SDG 4), Gender Equality (SDG 5), Clear Water and Sanitation (SDG 6), Affordable and Clean Energy (SDG 7), Decent Work And Economic Growth (SDG 8), Industry, Innovation, and Infrastructure (SDG 9), Reduced Inequalities (SDG 10), dan Partnerships For The Goals (SDG 17),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penyertaan dan pencapaian kepada kedudukan ini adalah isyarat jelas kesungguhan dan keyakinan UiTM berada pada landasan yang betul ke arah menjadi institusi pengajian tinggi terkemuka dunia.

“Ia akan memberi motivasi dan suntikan semangat kepada seluruh warga UiTM untuk menggiatkan lagi peranan masing-masing untuk memberikan impak sosial dan ekonomi yang lebih berkesan kepada masyarakat, negara seterusnya pada peringkat dunia,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/681427/uitm-tersenarai-kedudukan-401-600-university-impact-ranking?fbclid=IwAR0CNSPdFngtOx8_zcBPAqaCEH4gQt5HY1KoxQVOxiL9tXS2FRLU8GiV-wU