UiTM TERIMA LAWATAN PENANDA ARAS UIN ALAUDDIN MAKASAR INDONESIA

SHAH ALAM, 11 Mei 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menerima lawatan penanda aras dari Program Studi Matematika Fakultas Sains dan Teknologi, Universitas Islam Negeri (UIN) Alauddin Makasar, Indonesia di Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM). Delegasi kunjungan UIN yang diketuai oleh Dr Wahidah Alwi, Ketua Program Pengajian Matematik ini telah disambut oleh Prof. Madya Dr Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri, Ketua Pusat Pengajian Sains Matematik, KPPIM.

Lawatan ini bertujuan menanda aras Fakultas Sains dan Teknologi UIN Alauddin Makasar, khususnya bagi program pengajian matematik dari segi struktur pembelajaran dan subjek matematik yang ditawarkan. Selain itu, sesi lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama, membina hubungan yang kukuh serta berkongsi pengetahuan dalam pelbagai perkara berkaitan terutama melibatkan kerjasama penyelidikan, pertukaran pelajar dan persidangan bersama yang akan dijalankan antara kedua-dua pihak. Dalam lawatan penanda aras tersebut, delegasi UIN Alauddin Makasar turut dibawa melawat makmal Big Data Lab serta makmal komputer lain di sekitar Kompleks Al-Khawarizmi.

Pihak KPPIM menghargai dan menyambut baik kedatangan delegasi UIN Alauddin Makasar terutamanya atas pemilihan UiTM sebagai penanda aras program pengajian matematik. Pihak KPPIM turut positif bahawa lawatan yang diadakan julung kalinya menjadi titik permulaankepada hubungan kerjasama yang lebih kukuh dan bermanfaat kepada UiTM dan UIN Alauddin Makasar.