Shah Alam, 26 Apr 2022 – Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha perangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata majlis ini adalah julung kali diadakan untuk Lembaga Pengarah UiTM dan Lembaga Pengarah Anak anak Syarikat UiTM dan Pengurusan Tertinggi UiTM bagi memastikan amanah yang dijalankan penuh berintegriti dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Termeterainya ikrar ini maka semua Lembaga Pengarah UiTM dan Lembaga Pengarah Anak anak Syarikat UiTM dan Pengurusan Tertinggi UiTM wajib komited dalam menjauhi perkara-perkara yang boleh membawa kepada unsur rasuah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah serta tugasan yang telah diberikan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis IBR Lembaga Pengarah UiTM dan Lembaga Pengarah Anak anak Syarikat UiTM dan Pengurusan Tertinggi UiTM.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata ikrar ini merupakan inisiatif UiTM dalam menyokong penuh usaha pembanterasan rasuah bersama SPRM.
Sesi lafaz ikrar ini diketuai oleh Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Shah Abu Shah bersama 26 warga Lembaga Pengarah UiTM dan Lembaga Pengarah Anak – anak Syarikat UiTM dan Pengurusan Tertinggi UiTM dan disaksikan oleh Datuk Seri Norazlan.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor dan Pengarah SPRM Negeri Selangor, Dato’ Alias Salim.