Program Singgah Sahur Bersama Pelajar

Memasuki fasa terakhir bulan suci Ramadan, tanggal 25 April 2022 (Isnin) Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama Office Management Student Association (OMSA) mengambil peluang untuk menghidupkan bulan Ramadan ini dengan mengadakan program singgah sahur bersama para pelajar yang berada di dalam kampus bagi kemasukan fasa

Bagi menyantuni 65 pelajar yang pertama kali menyambut Ramadan berjauhan dengan keluarga ini, sejumlah 65 bungkus makanan telah diagihkan kepada pelajar-pelajar dari program BA118 dan BA232 yang telah disempurnakan oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah binti Asmui dan Encik Arifi bin Ridzuan, Koordinator BA232. Turut serta hadir ke program tersebut sekumpulan pensyarah PPPG yang sama-sama memberikan juadah bersahur serta sedikit buah tangan untuk para pelajar.

Jawatankuasa Khidmat Masyarakat (USR), Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG) di bawah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan sering mengadakan program Khidmat Masyarakat bagi memenuhi kriteria KPI fakulti iaitu program atau aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) untuk memberi manfaat kepada komuniti dan industri luar dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu SDG 1 (tiada kemiskinan) serta SDG 2 (kelaparan sifar).  SDG1 bertujuan menamatkan kemiskinan dalam semua bentuk di mana-mana, manakala SDG 2 bertujuan mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik. Selain itu juga sebagai satu usaha murni dalam menghidupkan dan meraih keberkatan serta fadilat yang ada dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak serta memupuk semangat dan sikap suka bersedekah dan saling bantu membantu dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan bersama para pelajar.

Semoga dengan berlangsungnya program ini, dapat memberikan keceriaan kepada pelajar yang berada di dalam kampus, dan memberikan pengalaman manis kepada pelajar yang selama ini belajar di rumah masing-masing. Program yang bermula pukul 10.30 malam itu berakhir pada pukul 11.30 malam.

  • Tajuk Asal:    Program Singgah Sahur Bersama Pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Pahang