12-13 Julai 2023 : Kejohanan Memanah MSSD Maran telah berlangsung di Lapang Sasar Memanah UiTM Cawangan Pahang. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Prof Ts Dr Mohd Ilham Adenan, Rektor UiTM Cawangan Pahang yang mengalu-alukan penglibatan komuniti memanah di daerah Maran bersama UiTM dan Persatuan Memanah UiTM Cawangan Pahang. Kejohanan tahun 2023 ini, Puan Hazora binti Ismail, Pengetua SMK Maran telah bertindak sebagai Pengerusi Pengelola.
Menurut Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pembangunan Bakat Murid PPD Maran, En. Akmal Syah Hj Mohamed, fasiliti lengkap dan perjalanan program yang lancar telah menjadikan UiTM Pahang terpilih sebagai tuan rumah untuk dua tahun berturut-turut. Pertandingan ini diadakan adalah untuk melihat perkembangan program pembangunan sukan memanah dikalangan pelajar sekolah antara umur 10 tahun hingga 18 tahun seterusnya untuk melihat persaingan secara sihat diantara mereka.
Objektif kejohanan ini adalah untuk menerapkan nilai semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan, mendidik atlet kemahiran pengurusan masa dan menjalinkan ikatan ukhuwah yang erat antara atlet. Pingat-pingat telah disampaikan oleh Prof Rektor pada hari pertama untuk kategori Bawah 12 tahun lelaki dan perempuan, dan oleh Prof Madya Dr Mohamad Azmi Nias Ahmad, Presiden Persatuan Memanah Negeri Pahang, pada hari kedua untuk kategori Bawah 15 tahun lelaki dan wanita, dan Bawah 18 tahun lelaki dan wanita.
Diharapkan untuk kejohanan tahun hadapan, akan ada lagi pertambahan sekolah dan murid yang menyertai supaya sukan memanah di daerah Maran terus berkembang serta bakat murid dapat diketengahkan. Program pembangunan memanah seumpama ini telah mencapai sasaran dalam memastikan kehidupan sihat dan menggalakkan kesejahteraan kepada semua dalam semua lapisan umur dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada komuniti. Ianya selaras dengan SDG3 dan SDG4 di mana sekolah-sekolah di daerah Maran dan UiTM dapat mengukuhkan misi jangka panjang dan sederhana, agar dapat berperanan lebih proaktif dalam membudayakan nilai teras SDG tanpa membataskan peranannya hanya sebagai pusat penyebaran ilmu.
Galeri Gambar: