Memupuk kewarganegaraan global dikalangan pelajar adalah usaha penting yang perlu ditekankan bagi menghasilkan generasi yang berpengetahuan, bertanggungjawab, dan penyayang. Warga muda ini merupakan instrumen dan aset berharga universiti yang bakal mencorak masa depan negara dan memberi sumbangan yang membina kepada dunia. Bersandarkan aspirasi tersebut, UiTM Cawangan Negeri Sembilan mengorak langkah melalui Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar Kampus Kuala Pilah dengan menganjurkan Global Outreach Program siri ke 6.0 (GOP 6.0).
Program ini disertai lebih 80 orang pelajar dan pensyarah daripada empat universiti antarabangsa iaitu Telkom University, Universitas Negeri Malang, Universitas Islam Indonesia dan Universitas Maritim Raja Ali Haji yang telah berkampung selama 5 hari bermula 21 – 25 Ogos 2023 bertempat di UiTM Kampus Kuala Pilah. Pelbagai aktiviti telah dirangka dengan menumpukan pembangunan ilmiah dan sahsiah para pelajar dengan bertemakan ‘Collaboration for Future Empowerment Education’. Para pelajar dari kedua-dua buah negara didapati dapat berinteraksi dengan sangat baik melalui aktiviti Malaysia-Indonesia Colloquium, Pembentangan oleh Special Interest Group, Perbincangan dua hala , Sukan rakyat, 3 Minutes Research Presentation, Aktiviti kebudayaan (persembahan teater dan tarian) dan International Community Service Programme 2023 (ICSP ’23).
Berkongsi pengalaman dan pengetahun yang didapati dari universiti masing-masing merupakan salah satu spek dalam memupuk budaya kerja yang global. Melalui GOP 6.0 ini., Malaysia-Indonesia Colloquium telah dianjurkan dengan sesi pembentangan oleh penceramah jemputan dari kesemua universiti. Antara topik-topik yang diulas adalah Oil Esters as Potential Emollient for Cosmeceutical Applications, Shaping Future: Biomedical and Healthcare Technologies, Application of Green Chemistry Principle in Organic Synthesis and Statistic and Forecasting in Chemistry: Unlocking Pattern and Prediction.
Disamping pengetahuan ilmiah, penerapan pengalaman sosiobudaya juga telah diajar melalui aktiviti sukan Rakyat, persembahan teater dan tarian. Para pelajar sangat komited dan menghargai pengalaman-pengalaman perkongsian sosiobudaya apabila satu siri teater yang dilakoni oleh wakil-wakil setiap university telah ditayangkan pada sesi penutup program GOP 6.0. Selain itu, sikap kekitaan dan hormat sesama manusia juga diterapkan kepada pelajar melalui aktiviti sukan rakyat.
Hala tuju ke arah global yang lebih seimbang perlu diterapkan dalam jiwa setiap para pelajar. Para pelajar ini perlu memahami aspek empati, menghormati dan sentiasa bersyukur. Melalui International Community Service 2023 yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar bersama Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Kuala Pilah, satu program kemasyarakatan telah berjaya diadakan bersama CMH Specialist Hospital yang bertempat di Galeri Diraja Tuanku Jaafar Seremban. Sepanjang program, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti saringan kesihatan percuma, ceramah kesihatan dan penerangan berkaitan pemakanan. Meneruskan agenda program ini, UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan rakan-rakan universiti antarabangsa telah menyalurkan beberapa buah kerusi roda untuk dimanfaatkan di CMH Specialist Hospital.
Akhir sekali, program GOP 6.0 mempunyai tujuan dalam mencapai aspirasi UiTM sebagai Globally Renown University by 2025 dengan memupuk kesedaran dan pemahaman budaya dikalangan pelajar disamping menggalakkan pelajar untuk meneroka dan belajar tentang kepelbagaian budaya, tradisi dan bahasa. Seterusnya melahirkan pelajar yang yang berfikiran global dengan menghargai kekayaan kepelbagaian manusia. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan dimasa akan datang.