SHAH ALAM, 7 DISEMBER – University Robot Competition adalah pertandingan yang berasaskan penyelidikan robot yang telah diperkenalkan sejak tahun 2010 dengan nama MuROC, sebelum dijenamakan semula ke U-ROCK. Penyertaan sulung pelajar sarjana UiTM dalam pertandingan ini diketuai oleh penyelia/ pensyarah, Dr. Mohd Hafiz Bin Mohd Noh dengan tiga orang pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan iaitu Muhammad Ashraf Zhafry Bin Nor Azri, Mohd Fitri Reza Bin Mohd Noor dan Muhammad Firdaus Bin Zakaria. Sebanyak 20 pasukan yang mewakili institusi pengajian tinggi (awam dan swasta), institut kemahiran, politeknik dan pusat latihan pengajar, telah bersaing di mana hanya 4 pasukan layak ke peringkat akhir. Tiga teras yang dinilai dalam pertandingan ini adalah kebolehan drone melepasi kesemua halangan, pendaratan yang baik dan penghantaran (delivery item) yang sempurna serta catatan masa yang terpantas.
Selaras dengan objektif penghasilan graduan yang seimbang dari segi teori dan praktis, pihak pengurusan tinggi Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM sentiasa peka dengan keperluan kewangan dalam memenuhi aspirasi tersebut. Justeru, dengan kelulusan peruntukan kewangan daripada Tabung Amanah Program Pascasiswazah, pasukan UiTM ini telah berjaya menghasilkan sebuah multirotor drone lengkap yang memenuhi spesifikasi dan syarat pertandingan. Proses penghasilan drone ini mengaplikasikan pengetahuan teori ke praktis dalam bidang aerodinamik, sistem pendorongan (propulsion system), pembinaan kerangka (structure), pemilihan material, kawalan navigasi, pengurusan kos dan juga payload integration.
Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM juga sedang dalam perancangan untuk menjadi peneraju dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan dengan penubuhan kumpulan penyelidikan seperti Tier-4 Flight Technology & Test (FTT) dan program akademik khusus, Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan di bawah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal. Bermula dengan penyelidikan dalam Blended Wing-Body (BWB) dan Unmanned Aerial Vehicles (UAV), penghasilan drone yang membawa kepada kejayaan pasukan UiTM ini merupakan hasil kerjasama di antara ahli-ahli kumpulan penyelidikan FTT yang merupakan penyelidik juga tenaga pengajar program sarjana. Diharapkan kejayaan pasukan ini dapat memberikan inspirasi kepada para pelajar serta pemain industri dalam usaha untuk mengembangkan lagi industri drone ke peringkat yang lebih tinggi.