Kampung Padang Jawa, 16 Disember 2023 – Pelajar UiTM merevolusikan Penanaman Pintar di Kampung Padang Jawa melalui pelaksanaan teknik Aeroponik, Hidroponik, Taman Menegak dan Sistem Penyiraman Tumbuhan Automatik berteraskan IoT. Projek “Smart Gardening” yang merupakan sebuah program kemasyarakatan, di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), telah berjaya dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Inisiatif penanaman pintar ini adalah sebagai tanda respons terhadap cabaran yang dihadapi oleh penduduk Kampung Padang Jawa di dalam usaha mereka membangunkan kebun masing-masing. Ini adalah kerana kawasan ini merupakan kawasan amat padat disertai kekurangan pencahayaan dan bekalan air yang tidak mencukupi, menyebabkan penduduk sering berhadapan dengan penurunan kesuburan tanaman dan hasil tanaman yang rendah. Kaedah penanaman generasi moden menawarkan teknik penanaman menjimatkan air, memaksimumkan ruang, dan mengurangkan tenaga kerja. Tambahan pula, ia mempunyai kemampuan untuk menghasilkan hasil tanaman yang lebih tinggi sehingga 80%.
Program ini adalah hasil usaha gigih 40 orang mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dan Sarjana Muda Sistem Maklumat (Kepujian) Kejuruteraan Sistem Maklumat, di bawah penyeliaan Dr. Azhar Abd Aziz. Aktiviti penanaman dan pemasangan telah dilaksanakan dengan teliti oleh para mahasiswa di sekitar kawasan perumahan Jalan Mat Raji, Kampung Padang Jawa. Penduduk turut diberikan demonstrasi penggunaan teknologi penanaman pintar.
Tuan Haji Hisam, yang merupakan salah seorang peserta menyatakan bahawa beliau dan keluarga telah beroleh banyak pengetahuan tentang penanaman pintar dari program ini. Mereka mempunyai harapan besar teknologi pintar ini dapat menghasilkan hasil tanaman yang lebih tinggi. Di samping itu, Tuan Haji Hisam turut melahirkan rasa penghargaan dengan menyatakan “Teknik penanaman pintar ini dapat memberi manfaat kerana ia memberi pendedahan kepada penduduk tentang kaedah penanaman alternatif untuk menjimatkan air, memaksimumkan ruang, dan mengurangkan tenaga kerja. Kami mengharapkan lebih banyak program seperti ini akan diperkenalkan pada masa akan datang”.
Program SULAM 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan mengetahui bagaimana ilmu yang diperolehi juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti tersebut juga menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari Keempat dan Kesebelas, iaitu Pendidikan Berkualiti dan Bandar dan Komuniti Lestari. Ia juga selaras dengan visi Malaysia Madani.
Galeri Gambar: