UiTM Mendaki 17 Anak Tangga dalam UI GreenMetric World University Rankings 2023

SHAH ALAM, 8 Disember 2023 – Sejak penyertaan UiTM dalam UI GreenMetric World University Rankings pada tahun 2019, UiTM menunjukkan komitmen terhadap kemampanannya apabila meningkatkan kedudukannya secara berterusan bagi lima tahun berturut-turut. Pada tahun ini, UiTM telah berjaya mencapai kedudukan ke-111 dengan lonjakan 17 anak tangga daripada kedudukan ke-128 pada tahun lepas.

UI GreenMetric World University Rankings mengukur usaha kemampanan sesebuah institusi melalui enam gugusan, iaitu Penetapan dan Infrastruktur, Sisa Buangan, Air, Tenaga, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan. Berdasarkan keputusan 2023 yang dikeluarkan semalam, UiTM berjaya memperoleh markah penuh bagi gugusan Sisa Buangan serta Pendidikan dan Penyelidikan, yang mana kedua-dua gugusan ini telah menyumbang kepada pencapaian yang tinggi tahun ini.

Secara keseluruhan, 1,183 buah institusi telah disenaraikan di peringkat global tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 133 buah institusi berbanding tahun lepas. Di Malaysia, sembilan buah universiti tempatan lagi telah menyertai UI GreenMetric World University Rankings 2023, iaitu daripada 32 universiti pada tahun lepas kepada 43 universiti pada tahun ini.