SHAH ALAM, 17 JANUARI 2023 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) menjalinkan hubungan startegik bersama Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM), Muezza Education Group Sdn. Bhd dan Persatuan Pengusaha & Penggerak Industri Drone (MyDrone) dengan tujuan mengeratkan kerjasama institusi akademik antara kedua-dua pihak. Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.
UiTM diwakili oleh Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan UiTM, Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin, PSM diwakili oleh Presiden PSM, YBhg. Dato’ Mohd Sumali Reduan, Muezza Education Group Sdn. Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tuan Anas Izuan Azmi, dan MyDrone diwakili oleh Timbalan Presiden, Dr. Roslan Basaruddin. Turut menghadiri majlis tersebut ialah Dekan FSR, Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor, Setiausaha Agung PSM, YBhg. Datuk Haji Abidullah Haji Salleh, Penasihat dan Pemegang Saham Muezza Education Group Sdn. Bhd., Tuan Abdul Halim Ali Umar, dan Setiausaha Kehormat MyDrone, Encik Muhammad Fareez Abu Suaib Khan.
Menurut Penolong Naib Canselor Pengantarabangsaan UiTM, Profesor Dr. Shahriman Zainal Abidin, inisiatif ini merupakan satu agenda yang penting dan selaras dengan misi dan visi UiTM. “UiTM yakin bahawa melalui kerjasama seperti ini, proses pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni akan berterusan demi melahirkan modal insan yang berjaya, holistik dan berdaya saing ke arah kemajuan diri, masyarakat dan negara. Kerjasama ini akan dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pengembangan sukan tanah air dan pengukuhan atlet-atlet pelapis yang berdaya saing menerusi perancangan dan strategi yang lebih bersepadu antara kedua-dua belah pihak.”
“Malah, MoU ini juga membuka peluang untuk UiTM menebarkan sayapnya menerusi pakar- pakar bidang memartabatkan lagi industri sukan tanah air, samada dalam bentuk penyelidikan, penukaran maklumat, dan keilmuan yang bersifat dinamik seiring dengan norma baharu dalam kehidupan masa kini. Ia juga memberikan peluang kepada UiTM untuk menyalurkan sumbangan secara langsung kepada kemajuan sukan negara dengan menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada atlet dan juga menyediakan tenaga sukarelawan pelajar kepada pihak yang memerlukan,” jelas beliau.
MoU antara UiTM dan Persatuan SepakTakraw Malaysia (PSM) akan memberikan tumpuan kepada beberapa perkara termasuk (i) penerimaan pelajar-pelajar diploma dan ijazah dari UiTM untuk suatu tempoh yang dipersetujui bersama untuk melaksanakan latihan praktikal, (ii) perkhidmatan rundingan dan khidmat pakar dari UiTM atau PSM, (iii) penerimaan staf dan pelajar-pelajar dari UiTM atau PSM untuk tempoh penyelidikan yang akan dipersetujui bersama, dan (iv) kerjasama di dalam apa-apa bidang lain seperti mana yang dipersetujui oleh pihak-pihak dari semasa ke semasa.
MoU antara UiTM dengan Muezza Education Group Sdn. Bhd (MEG) akan memberikan tumpuan kepada beberapa perkara termasuk (i) menyumbang tenaga kerja terutama penglibatan pelajar Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) UiTM untuk program dianjurkan MEG (ii), kerjasama dua (2) hala dalam penyediaan peluang kerjaya untuk pelajar FSR UiTM di MEG, (iii) kerjasama dari sudut pembangunan modul memanah, renang dan berkuda, dan (iv) jemputan dekan fakulti ke program-program besar yang dianjurkan oleh MEG.
Manakala, MoU antara UiTM dengan MyDrone akan memberikan tumpuan kepada beberapa perkara termasuk (i) memberikan konsultasi & bertukar pendapat serta kepakaran dalam industri berkaitan dron sama ada dalam bentuk ilmu kesukanan, mahupun perniagaan, (ii) memberi pendedahan dan latihan “Hang-Out” kepada pelajar-pelajar sekiranya mereka memerlukan bantuan pembelajaran teknik menggunakan dron, (iii) mengadakan simposium, konferensi, kursus pendek dan mesyuarat berkenaaan isu-isu- industri dron dan sukan dron, (iv) pertukaran maklumat berkenaan perkembangan industri dron sama ada dalam bentuk pendidikan mahupun komersial, dan (v) berkongsi kepakaran dan membuka ruang penggunaan fasiliti dalaman bagi bersama-sama merancang pembangunan atlet sukan dron negara.