UiTM MEMPERSEMBAHKAN FLASHMOB PERTAMA DI MYEONGDONG, KOREA SELATAN

40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mempersembahkan flashmob pertama di Myeongdong, Korea Selatan melalui Program UiTM – Youth Global Outreach 2023.

Salah satu aktiviti menarik telah diadakan iaitu ‘Sarong in Seoul’ ia merupakan aktiviti flashmob di tengah bandar Myeongdong, Korea Selatan. Flashmob ini melibatkan persembahan 10 buah lagu dan tarian tradisional yang berbeza. Antara lagu yang dipertunjukkan adalah ‘Lenggang Kangkung’, ‘Ketipang Payung’, ‘Ikan Kekek’, ‘Bujang Lapok’, dan banyak lagi. Para peserta turut memperagakan pakaian tradisional dari pelbagai budaya seperti Bangsa Melayu, India, Cina, dan Suku Kaum Kadazan. Selain itu, pihak penganjur juga memberikan cenderahati berupa kain batik yang dibawa dari Malaysia kepada pengunjung yang menyaksikan flashmob tersebut.

Profesor Dr. Hj. Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menyatakan pertukaran budaya ini sangat penting, kerana budaya merupakan identiti kepada sesebuah bangsa dan negara. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang menitikberatkan pengekalan budaya yang telah diwarisi sejak turun temurun.

“Dalam pelaksanaan program seperti yang terdapat dalam program outreach ke Korea Selatan baru-baru ini, para peserta program telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan mereka telah mendekati rakyat Korea untuk mempersembahkan tarian serta pakaian tradisional yang mereka kenakan di Myeongdong, Korea Selatan.”

Nik Nur Khaleeda, Ketua Aktiviti Flashmob, menambah, aktiviti flashmob ini adalah salah satu cara mudah untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat Korea melalui tarian tradisional dan peragaan pakaian tradisional. “Seperti yang kita semua maklum, Myeongdong merupakan bandar yang sibuk dengan pengunjung dari seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan tempat untuk melaksanakan aktiviti flashmob ini adalah tepat dan strategik,” kata Nik Nur Khaleeda.

Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti budaya seperti flashmob ini, Program UiTM – Youth Global Outreach 2023 turut menyumbang kepada matlamat Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) dan memperkukuhkan pengalaman mahasiswa dalam pertukaran budaya serta kepentingan pemeliharaan warisan budaya yang telah diwarisi. UiTM terus berusaha untuk menjadi universiti yang berwibawa secara global dan mewujudkan mahasiswa yang berwawasan serta bertanggungjawab dalam merealisasikan aspirasi untuk pembangunan lestari dan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar sesi UiTM Shah Alam 2021/2022 telah mengadakan Program UiTM – Youth Global Outreach 2023 di Pulau Jeju dan Seoul, Korea Selatan dari 25 Jun hingga 1 Julai 2023.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Muhammad Haikal Rosli,
haikal.mppuitmsa@gmail.com / 016-789 4446