UiTM Memperkasakan Remaja Sihat Melalui Program Pendidikan Kesihatan

22 Januari 2024 @ Auditorium Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM berlangsung “Community Health Program” anjuran bersama Pusat Pengajian Kejururawatan, UiTM Cawangan Selangor dengan kerjasama Institute of Continuing Education & Professional Studies (ICEPS) UiTM dan Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM dengan tema “UiTM Memperkasakan Remaja Sihat Melalui Program Pendidikan Kesihatan”.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Tuan Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) dimana pasukan daripada Fakulti Sains Kesihatan telah menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan dan pelbagai kaedah pendidikan kesihatan khusus kepada golongan wanita dan lelaki. Seramai hampir 200 orang pelajar yang pintar cerdas dan lebih kurang 30 orang pegawai dan kakitangan UKM telah menyertai program.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah saringan kesihatan, pelbagai kaedah pendidikan kesihatan termasuk pameran dan demonstrasi kesihatan yang dikendalikan oleh seramai 49 orang pelajar Sarjana Muda Kejururawatan (NHSN8A-ePJJ) dibawah Kod Subjek NRS522: Kesihatan Kejururawatan Komuniti yang di ketuai oleh Nur Syamimi Bte Mohd Gawus dan Muhammad Faisal Bin Mohd Fadzil.

Program ini telah berjaya menunjukkan kesungguhan UiTM, khususnya Fakulti Sains Kesihatan membantu memperkasakan taraf kesihatan masyarakat sejajar melalui program USR (University Social Responsibility) bagi memenuhi tuntutan SDG 3 iaitu “Good Health and Wellness”.

Disamping itu juga, program berjaya mengintegrasikan pengetahuan dan kepakaran UiTM khususnya di bidang kejururawatan dalam penyampaian perkhidmatan yang holistik kepada masyarakat khususnya golongan muda. Penganjuran projek kesihatan ini juga menjadi satu platform dalam usaha meningkatkan kemahiran sosial, kerja berpasukan dan kebertanggungjawaban di kalangan pelajar UiTM, menurut kata Puan Fatimah Sham, Pensyarah Kanan UiTM selaku penyelia bagi program ini.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, berjaya memuaskan hati para peserta yang menyertai program ini serta diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan lagi di masa akan datang, menurut kata Encik Mohd. Hakimie Zainal Abidin (Pemangku Pengarah, Pusat PERMATA@Pintar Negara, UKM).