SHAH ALAM, 12 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mencatatkan peningkatan dalam UI GreenMetric World University Rankings, dengan menduduki tempat ke-107 pada peringkat global dan ke-6 dalam kalangan institusi di Malaysia pada 2024. Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM terhadap kelestarian sejak pertama kali menyertai penarafan ini pada tahun 2019, dengan peningkatan yang konsisten selama enam tahun berturut-turut.
UI GreenMetric World University Rankings menilai universiti di seluruh dunia berdasarkan usaha kelestarian mereka melalui enam kriteria utama: Penetapan dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan Iklim, Pengurusan Sisa, Penggunaan Air, Pengangkutan, serta Pendidikan dan Penyelidikan. Tahun ini, UiTM cemerlang dalam kategori Pengurusan Sisa dan Pendidikan serta Penyelidikan, meraih skor sempurna yang memberi sumbangan besar kepada pencapaiannya.
UI GreenMetric World University Rankings 2024 menyaksikan penyertaan 1,477 buah institusi dari seluruh dunia, meningkat sebanyak 293 berbanding tahun sebelumnya. Di Malaysia, 17 buah institusi tambahan turut mengambil bahagian, menjadikan jumlah keseluruhan 60 buah institusi. Kedudukan UiTM pada tempat ke-6 dalam kalangan institusi tempatan mengukuhkan peranannya sebagai peneraju dalam inisiatif kelestarian pada peringkat nasional.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, menyatakan, “Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen berterusan UiTM terhadap kelestarian dan usaha gigih seluruh komuniti kami. Ia mencerminkan kebersamaaan kami dalam membina masa depan yang lebih hijau dan mampan melalui amalan inovatif, penyelidikan, dan pendidikan. Kami akan terus berusaha melaksanakan inisiatif yang memberi kesan positif dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan, serta memajukan peranan kami sebagai peneraju kelestarian, baik pada peringkat nasional mahupun antarabangsa”.