UiTM Melaka Bekerjasama Dengan Alumni Melancarkan Siri Buku Bertema Minority Language Engagement

ALOR GAJAH, 28 Ogos 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Melaka bersama alumninya berjaya melancarkan 3 buah buku mewah yang bertema “Minority Language Engagement” (MILEAGE) sempena meraikan sambutan 25 Tahun UiTM Sebagai Sebuah Universiti bertempat di PARKROYAL A’Famosa Melaka Resort.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh YB Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, YB Datuk Rahmad Mariman, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, bersama Profesor Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Zaini, Rektor, serta barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Melaka.

Antara 3 judul buku mewah yang dilancarkan bertajuk “Chetti: Relieving The Indian Peranakan Community”, “Baba & Nyonya: The Coffee Table Book”, dan “Kristang: Where History Speaks a Unique Tongue”, merupakan hasil karya daripada alumni, graduan kohot 7 program LG120 (English for Professional Communication) bersama pensyarah APB.

Sesi perkongsian pengalaman penulis diwakili oleh Aina Najihah Binti Amir, Sharifah Nur Nabila Binti Syed Suhairi dan Nur Danisha Binti Mohd Syuhairi, juga merupakan alumni telah menceritakan inspirasi, motivasi dan setiap detik-detik kecil dalam pelaksanaan projek ini.

Menurut kumpulan penulis MILEAGE, selain mempromosikan seni dan budaya yang dimiliki oleh komuniti Baba & Nyonya, Chetti dan Kristang, penerbitan buku ini merupakan satu usaha untuk memelihara bahasa etnik minoriti yang kian kehilangan penuturnya. Inisiatif projek ini berhasrat untuk mendokumentasikan budaya dan bahasa etnik minoriti untuk dijadikan panduan dan rujukan generasi akan datang.

Turut hadir Majlis Pelancaran Buku termasuk Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Datuk Sabariah Hj Mahat, mantan Rektor UiTM Cawangan Melaka.

Penulis Koresponden: Soo Yew Phong, Koordinator ICAN, UiTM Cawangan Melaka;
Penulis Bersama: Sumarni binti Maulan, Penyelia Utama Projek MILEAGE.