SHAH ALAM, 29 SEPTEMBER 2023 – UiTM telah melakar sejarah apabila program gotong-royong serentak merangkumi 34 kampus cawangan di seluruh negara dengan penyertaan seramai lebih 35,685 orang warga UiTM dicatatkan di dalam “THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS. Majlis Gotong-Royong Perdana yang dianjurkan oleh Jabatan Infrastruktur Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar ini bertemakan “KITA, KAMPUS DAN ALAM”.
Tema ini tidak dipilih secara rawak, sebaliknya ia ditentukan kerana mengandungi makna yang mendalam. Ia membawa maksud bahawa ada perhubungan erat di antara ketiga-tiga elemen ini. Semua ini adalah untuk memastikan bahawa kampus UiTM kekal kondusif dan alam sekitar kita terjaga daripada kemusnahan yang disebabkan oleh tindakan kita sebagai manusia.
Program Gotong-Royong Perdana di Shah Alam, bermula dengan mengecat kerb dari Kolej Perindu ke MTDC. Manakala, gotong-royong mengikut tugas yang telah dirancangkan serentak oleh semua PTJ akan bermula sejurus majlis perasmian dan Soft Launch Pusat Kitar Semula.
Objektif utama program ini adalah untuk menjadikan UiTM lebih ceria, meningkatkan kebersihan kampus, mencipta iklim yang kondusif dan lestari, serta memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar, pensyarah, pentadbir, dan seluruh komuniti UiTM. Program ini juga selari dengan dasar kerajaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), terutamanya dasar Ekosistem Konduksif Sektor Awam (EKSA) bermula pada 2017, yang bertujuan mewujudkan persekitaran kondusif dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Diharapkan melalui program ini, dapat mengeratkan kerjasama warga UiTM dan memupuk semangat rasa cinta terhadap kampus.