UiTM Cawangan Negeri Sembilan Pamerkan Produk Inovasi STEM di SMK Dato’ Undang Haji Adnan

Pada 20 September 2023 yang lalu, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban telah membuka dua buah booth pameran bagi mempamerkan produk inovasi STEM bersempena dengan Program Minggu Sains dan Teknologi yang dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Haji Adnan, Kota. Program ini diadakan bertujuan untuk menarik minat dan memberi motivasi kepada para pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Produk inovasi pertama adalah Spiral Stat, yang merupakan hasil cetusan Pn. Jaida Najihah Jamidin dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik UiTM Kampus Seremban. Ia merupakan sebuah papan permainan yang dicipta untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat pelajar yang mempunyai persepsi bahawa statistik adalah satu kursus yang sukar untuk difahami. Produk yang diinspirasikan daripada dam ular ini mempunyai kelainan di mana pemain haruslah menjawab soalan berkaitan statistik dengan betul untuk maju ke hadapan jika mereka berada di bulatan yang mempunyai gambar tangga. Manakala jika pemain berada di bulatan yang mempunyai gambar kamiran, pemain juga harus menjawab dengan betul bagi mengelakkan mereka daripada turun ke bulatan yang lebih rendah. Permainan ini bukan sahaja tidak membosankan pelajar malah dapat memupuk sifat persaingan yang sihat di antara mereka. Terdapat beberapa kursus yang menggunakan permainan ini iaitu kursus Introduction to Statistics (STA104) dan juga Statistics for Business and Social Sciences (STA404). Produk ini telah pun mendapat kelulusan harta intelek peringkat kebangsaan pada tahun 2019 dan akan dikomersialkan dengan lebih meluas ke seluruh sekolah di Malaysia untuk menarik minat pelajar sekolah dalam mata pelajaran matematik pula.

Sementara itu, produk inovasi STEM yang kedua adalah daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, diwakili oleh dua orang pelajar pascasiswazah iaitu Saudara Muhammad Ayyub Mohd Roslan dan Muhammad Aqil Zulkhairi. Produk yang dibangunkan dinamakan Chromozone – satu alat penguji kadar denyutan nadi (heart rate monitor) menggunakan teknologi ‘color-coding’. Inovasi ini membenarkan pengguna memantau warna tertentu untuk mengetahui tahap intensiti yang optimal bagi latihan fizikal mereka dengan mudah, memandangkan alat penguji kadar denyutan nadi yang berada di pasaran adalah mahal dan menyulitkan pengguna untuk memantau kadar denyutan nadi yang sesuai ketika bersenam. Sepanjang pembinaannya, Chromozone telah berjaya merangkul 19 anugerah pingat emas, 3 anugerah khas termasuk Korea Innovation Show. Malah, teknologi ini telah menerima paten antarabangsa dan 3 geran penyelidikan berjumlah RM 310,000 termasuk geran penyelidikan Prototype Research Grant Scheme (PRGS) dari Kementerian Pengajian Tinggi. Chromozone kini sedang berada pada fasa akhir pembinaan dan akan dipasarkan dalam jangka masa terdekat.

Dalam masa yang sama, turut diadakan program Young Stemist Expo Peringkat Kebangsaan 2023, melibatkan aktiviti pertandingan seperti Fast X Drone Challenge, Young Innovator Challenge, Micro:Bit Robotic Competition dan Young Animator Challenge. Malah, pihak sekolah turut mengundang beberapa buah institusi pengajian tinggi seperti Saito University College, German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan juga UiTM bagi mempromosikan program-program pengajian masing-masing. Booth pameran UiTM turut menjadi tumpuan para pelajar tingkatan lima dan pengunjung yang berminat untuk mengetahui program-program yang ditawarkan beserta syarat-syarat kelayakan bagi setiap program. Berikut adalah senarai program yang ada ditawarkan di Kampus Seremban meliputi 3 buah fakulti iaitu Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi serta Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik.

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi
a) SR111 – Diploma Pengurusan Sains dan Rekreasi
b) SR113 – Diploma Pengajian Sukan
c) SR241 – Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan (Kepujian)
d) SR243 – Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian)

Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik
a) CDCS112 – Diploma Sains Aktuari
b) CDCS241 – Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik
c) CDCS248 – Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik Pengurusan
d) CDCS249 – Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik
e) CS290 – Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik Pengurusan Dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Ekonomi Perniagaan

Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
a) AM110 – Diploma Pentadbiran Awam
b) AM120 – Diploma Pentadbiran Korporat
c) AM225 – Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat (Kepujian)
d) AM226 – Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (Kepujian)
e) AM228 – Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kepujian)

Semoga dengan penglibatan UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam program ini sedikit sebanyak dapat memberi input dan manfaat kepada para pelajar SMK Dato’ Undang Haji Adnan, sekaligus menggalakkan mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan dan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selepas tamat SPM kelak.