UiTM Jalin Kerjasama Pintar Dengan 18 Industri Untuk Melebar Luas Peluang Pelbagai Bidang

SHAH ALAM, 21 Mac 2022 – Kepesatan perubahan teknologi masa kini telah membawa kepada jalinan kerjasama antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan 18 pihak industri melalui pemeteraian 8 Memorandum Persefahaman (MoU) dan 10 Memorandum Perjanjian (MoA) hari ini.

UiTM melalui Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN), Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) telah memeterai kerjasama pintar yang bertujuan untuk meningkatkan kepakaran di kalangan staf di samping memperkukuh, mempromosi dan memperluas kolaborasi dalam bidang akademik, inovasi serta penyelidikan. Pada masa yang sama, kolaborasi ini secara langsung akan memberi nilai tambah khususnya dalam memperkasa kepakaran pihak yang terlibat.

Kerjasama ini antara lainnya dapat membuka peluang yang lebih luas dalam pelbagai bidang merangkumi pertahanan, teknologi percetakan 3D, farmaseutikal, Internet of Things (IoT), teknologi roket, perkayuan, pembuatan dan pembinaan. Antaranya, melibatkan penempatan latihan amali pelajar, peluang pekerjaan para graduan, permohonan bersama geran nasional dan antarabangsa, penyeliaan bersama pelajar penyelidikan, penyelesaian masalah secara kolaboratif, perundingan, pengkomersialan dan pemindahan teknologi.

18 industri tersebut ialah AA 3D Shop, AANS Technical and Services Sdn Bhd, Al Aafiyah International Sdn Bhd, Cybersecurity Sdn Bhd, 3D Gens Sdn Bhd, EMB Business Sdn Bhd, Ex Energy Sdn Bhd, Kreatif Apps Sdn Bhd, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Malaysia Timber Council (MTC), MTC Defence Sdn Bhd, Nextgreen Pulp and Paper Sdn Bhd, Pebble3D Sdn Bhd, Rivo Builder Sdn Bhd, Selia Tek Holdings Sdn Bhd, Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC), Summit Features Sdn Bhd dan Techkem Group.

Pemeteraian memorandum telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Sr. Ir. Dr. Suhaimi Abdul Talib, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM yang mewakili YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor, Naib Canselor UiTM bersama wakil daripada 18 industri yang terlibat dengan disaksikan oleh Prof. Dr. Hamidah Mohd Saman, Dekan ICAN.

Terdahulu, Prof. Suhaimi dalam ucapannya berkata “UiTM menerusi pelan strategik UiTM2025 telah menyasarkan matlamat untuk mencapai kecemerlangan global bersandarkan kepada dua (2) tema strategik yang melibatkan Pembangunan Penyelidikan Translasional, Inovasi dan Pengkomersialan (TRDIC) serta Perkongsian Pintar Industri, Komuniti dan Alumni (ICASP). Dalam konteks ini, ICASP akan berperanan sebagai platform kerjasama pintar bagi inisiatif MoU dan MoA yang berimpak tinggi dengan memanfaatkan bukan sahaja sinergi kolaborasi antara universiti-industri, malah menghasilkan ekosistem yang holistik ke arah penyelesaian kepada isu-isu masyarakat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)”.

Kerjasama menerusi pemindahan kepakaran dan teknologi sebegini adalah amat penting dalam usaha melahirkan masyarakat berdaya saing dan graduan masa hadapan yang memiliki kemahiran, kebolehan serta nilai kemanusiaan. Justeru, komitmen padu daripada semua pihak akan menghasilkan lebih banyak lanjutan kerjasama berkualiti dalam bidang berimpak tinggi terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.