UiTM Gabung Mod Pembelajaran Dalam Talian, Bersemuka.


Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Mara (UiTM) merancang menggabungkan mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) dan mod kehadiran fizikal sebaik pembukaan sepenuhnya universiti untuk pelajar pada Oktober ini.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata kedua-dua mod itu akan diadunkan mengikut peratusan tertentu, bersesuaian dengan keperluan piawaian pengajian program.

“Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara ODL akan diteruskan dan dalam masa sama pelajar perlu menghadirkan diri ke kelas secara fizikal terutama bagi keperluan keperluan seperti tutorial, pentaksiran berasaskan komputer, makmal, studio, dapur dan klinikal.

“Pihak universiti akan memastikan aktiviti PdP yang akan dilaksanakan itu mematuhi langkah keselamatan ditetapkan seperti memastikan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Azraai berkata, pihak universiti juga akan membuat penggiliran sesi pembelajaran iaitu satu kumpulan pelajar akan mengikuti pembelajaran secara bersemuka sementara satu kumpulan lagi secara dalam talian secara serentak.

“Dua kumpulan pelajar ini akan bergilir untuk masing-masing mengikuti PdP secara dalam talian dan bersemuka (kehadiran fizikal).

“Kaedah ini akan dilakukan sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan penjarakan sosial yang ditetapkan dan ia dilaksanakan sehingga satu tempoh yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak universiti sudah bersiap sedia untuk menerima kemasukan semula pelajar yang akan dijalankan secara berperingkat sehingga semua kampus UiTM di seluruh negara dibuka sepenuhnya Oktober nanti.

“Keutamaan kita adalah untuk memastikan kesihatan dan keselamatan pelajar serta kakitangan terjamin sebaik universiti dibuka sepenuhnya.

“Justeru kita akan membuat persiapan sebaiknya dengan mematuhi segala SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum pelajar pulang semula ke kampus nanti,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/708747/uitm-gabung-mod-pembelajaran-dalam-talian-bersemuka

1
0