UiTM Dan UMK Meterai Perjanjian

KOTA BHARU, 13 Februari 2022 – Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi Program Akademik Dwi Ijazah antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah diadakan pada 13 Februari 2022.

Program Akademik Dwi Ijazah ini merupakan program Dwi Ijazah pertama di Malaysia yang menggabungkan dua program sarjana muda dari dua buah Universiti Awam (UA). Program sarjana muda yang terlibat adalah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM dan Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) dengan Kepujian daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, UMK. Kedua-dua program ini telah memperoleh status akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA). Program Akademik Dwi Ijazah telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada 15 Mac 2019.

Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani oleh Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad yang kini menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK. Sesi menandatangani MoA tersebut disaksikan oleh Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTM Cawangan Kelantan serta Dekan Fakulti Keusahawanan & Perniagaan, Prof. Madya Dr. Mohd Nor Hakimin Yusoff.

YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dalam ucapannya berkata, program ini bakal melahirkan graduan yang holistik dan berketerampilan dalam memenuhi keperluan guna tenaga di Malaysia melalui penyediaaan peluang mendalami silang-bidang bagi memperkayakan kemahiran analitik dan pengetahuan pengedaran perniagaan kepada graduan. Tambahan beliau, program Akademik Dwi Ijazah ini akan memberi peluang kepada graduan untuk lebih berdaya saing, berkebolehan, dan mempunyai tahap kebolehpasaran yang tinggi apabila menceburi bidang pekerjaan berbanding pelajar yang hanya mempunyai satu ijazah.