UiTM dan SKVE Holdings Menandatangani Mou Kerjasama Industri-Universiti: Langkah Terkini Dalam Pembangunan Lestari

SHAH ALAM, 27 Februari 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan SKVE Holdings Sdn. Bhd. (SKVE) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memperluaskan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Inisiatif ini merupakan hasil usaha Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN) UiTM, Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) untuk memperkukuhkan hubungan dengan industri. MoU ini memfokuskan kepada aspek kajian dan pembangunan inovasi produk serta kerja-kerja kejuruteraan forensik, termasuk mendalami isu mendapan tanah di laluan jambatan, pergerakan tanah di atas lebuhraya utama SKVE, dan pembangunan pengurusan aset dan fasiliti.

Prof. Madya Ir. Dr. Ismacahyadi Bagus Mohamed Jais, yang memimpin inisiatif ini bersama rakan-rakan penyelidik dari Geotechnical Forensic Specialised Initiative Group (GeoForenSIG), Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam, akan mengawasi pelaksanaan kerjasama ini.

 

SKVE Holdings Sdn. Bhd. juga membuka peluang kepada pelajar KPK UiTM untuk Latihan Industri, seminar, dan bengkel peningkatan kemahiran kerjaya. Ini adalah langkah penting bagi memperkasakan bidang kejuruteraan awam, terutamanya dalam pembangunan lebuhraya dan pengurusan aset yang mampan.

Pertukaran memorandum ini disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin bersama dengan En. Teoh Ah Guan, Ketua Pegawai Eksekutif SKVE Holdings Sdn. Bhd., serta Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM, Prof. Dr. Hamidah Mohd Saman, dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi SKVE Holdings Sdn. Bhd., En. Mohd Khalid Mohd Saufee.

Dijangkakan MoU ini akan merancakkan pelbagai aktiviti yang memberi impak positif kepada kedua-dua pihak, seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan dan kelestarian alam sekitar.